PENDAPATAN LUMAYAN PUNCA KETUM JADI PILIHAN
Berita Jenayah
HARGA TINGGI DAN LUMAYAN PUNCA PERMINTAAN TINGGI KETUM
RANTAU PANJANG: Daun ketum yang dibawa masuk ke negeri ini, akan disorok dalam semak serta lokasi terpencil sebelum diseludup ke negara jiran.
Modus operandi itu dilakukan penyeludup bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa sebelum menggunakan pangkalan haram bagi menyeludup bahan terlarang yang mendapat permintaan tinggi di Thailand itu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam rampasan terbaharu malam tadi, anggotanya merampas 111 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM3,330 dalam semak Kampung Jedok, Tanah Merah.
Beliau berkata, daun ketum itu ditemui di sebuah bangsal dalam kebun getah di dua lokasi berasingan, namun jaraknya tidak jauh antara satu sama lain.
“Pemeriksaan di lokasi pertama kira-kira jam 7.30 malam, menemui dua bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 17 kg di bangsal berbumbung dalam kawasan semak.
“Pemeriksaan seterusnya kira-kira 100 meter dari lokasi pertama, menemui tujuh lagi bungkusan dengan kandungan sama iaitu seberat 94kg namun tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya ketika sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol, di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Azhari berkata, risikan mendapati semua daun ketum itu dibawa dari Kedah untuk diseludup ke Thailand menerusi pangkalan haram yang ada sekitar Tanah Merah.
Katanya, permintaan tinggi dan harga jualan mencecah lima kali ganda dari pasaran tempatan, menyebabkan penyeludup berani membawa masuk daun ketum untuk diseludup ke negara jiran meskipun kawalan ketat dilakukan pihak berkuasa.
“Harga yang dijual di Thailand dianggarkan mencecah antara RM100 hingga RM150 untuk 1kg, berbanding hanya RM30 dalam pasaran tempatan.
“Kami percaya rampasan daun ketum ini dijalankan sindiket kerana hasil rampasan terdahulu yang diperoleh membabitkan skala yang banyak dan nilai besar.
“Bagaimanapun kami akan terus memperkemaskan risikan maklumat berkaitan penyeludupan ini dan mengesan dalang utama sindiket,” katanya.