Harga Santan Terkawal di Pahang, Kekal RM20 Sekilogram
Harga Santan Terkawal di Pahang, Kekal RM20 Sekilogram
JERANTUT – Harga santan di Pahang kekal pada kadar RM20 sekilogram menjelang Hari Raya Aidilfitri hasil langkah proaktif kerajaan negeri mengimport kelapa dari Indonesia.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Sim Chon Siang, berkata usaha ini dilakukan bagi memastikan harga santan tidak meningkat seperti di negeri lain yang mencecah RM22 hingga RM24 sekilogram.
“Itu cara saya kawal harga. Kami telah membawa masuk kelapa dari Indonesia dan kini harga santan dapat dikekalkan pada RM20 sekilogram.
Sebelum ini, harga meningkat dari RM14 ke RM16, kemudian RM18 hingga RM22. Kalau dibiarkan, mungkin mencecah RM24. Jadi, kami ambil langkah segera untuk mengawal harga sebelum menjadi isu besar,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 10 kontena kelapa telah diimport dari Indonesia bagi menampung permintaan pasaran tempatan. Beliau memberi jaminan bahawa bekalan santan di Pahang mencukupi untuk kegunaan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut melancarkan program Jualan Makmur bermula 21 hingga 27 Mac 2025 di 26 lokasi seluruh Pahang. Program dengan peruntukan RM1.1 juta ini bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah menjelang perayaan.
“Jualan Makmur ini adalah hasil kerjasama dengan pasar raya dan pembekal terpilih seperti BS Freshmark dan Econsave bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berbelanja secara berhemah dan membuat perbandingan harga sebelum membeli barang.
Selain itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa santan yang dijual di salah sebuah pasar raya di Tanjung Lumpur, Kuantan tidak halal.
“Saya sendiri telah pergi periksa. Santan itu halal dan mempunyai sijil pengesahan halal dari Thailand. Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan lagi,” tegasnya.-SAHIH