HARGA MINYAK SAWIT MENTAH DIJANGKA MENINGKAT
HARGA MINYAK SAWIT MENTAH DIJANGKA MENINGKAT
KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka meningkat berikutan kesan penurunan pengeluarannya menyamai inventori seperti dicatatkan tiga tahun lalu.
Penganalisa pasaran CIMB, Ivy Ng dan Nagulan Ravi berkata, stok CPO Malaysia pada hujung Oktober lalu mencatat 1.57 juta tan, lebih rendah satu peratus berbanding jangkaan, lapor The Edge.
Kedua-dua penganalisa berkenaan turut menjangka kadar eksport CPO juga akan mengalami penurunan perlahan selepas perayaan Deepavali, sekali gus bakal mempengaruhi peningkatan harga pasaran.
“Kami menjangkakan harga CPO akan didagangkan sekitar RM2,600 hingga RM3,200 bagi satu tan untuk November ini dan meningkatkan kadar purata tahun ini iaitu sekitar RM2,500 hingga RM2,620 satu tan,” ujar mereka.
Sementara itu, penganalisa pasaran modal Affin Hwang Capital, Nadiah Aquidah berkata, peningkatan harga semasa CPO ketika ini dipengaruhi kekangan stok, penurunan pengeluaran, persaingan minyak-minyak jenis lain serta, pemulihan sentimen terhadap produk kelapa sawit.
“Faktor-faktor ini berpotensi menolong peningkatan harga CPO pada bulan-bulan seterusnya,” tambahnya.