HARGA EMAS MAMPU CECAH KE PARAS TERTINGGI SEKALI LAGI
HARGA EMAS MAMPU CECAH KE PARAS TERTINGGI SEKALI LAGI
KUALA LUMPUR: Harga emas pukal berupaya mencecah ke paras tertinggi tahun lalu iaitu AS$2,076 seauns atau RM301.93 segram dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ia berikutan trend kenaikannya yang menyaksikan harga emas
hari ini berada pada paras tertinggi dalam tiga bulan berikutan ketidaktentuan tahap pemulihan ekonomi global, jangkaan peningkatan inflasi dan jaminan bank pusat Amerika Syarikat (AS) bahawa dasar monetari kekal akomodatif.
Ketua Strategi Pasaran Global ATFX, Alejandro Zambrano, berkata prospek positif harga logam berharga itu dalam tempoh jangka pendek di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 yang dibayangi kebimbangan mengenai kadar inflasi di seluruh dunia.
Katanya, untuk tempoh beberapa minggu akan datang, harga emas berkemungkinan diniagakan lebih tinggi selepas pelabur turut bimbang dengan pasaran saham yang berada di bawah tekanan dan akan beralih kepada emas sebagai aset selamat.
“Buat masa ini, kenaikan harga emas juga selaras dengan kebimbangan mengenai inflasi dan kenaikan ini adalah baik selain berpotensi melonjak sehingga paras tertingginya. Cuma, masih belum ada petunjuk jelas mengenai prospek mengenai sejauh mana ia akan melonjak.
“Faktor inflasi akan mendominasi pasaran emas dalam tempoh dua bulan akan datang dan ia akan menjadi pemangkin apa yang kita akan lihat untuk tempoh jangka panjang.
“Selagi emas diniagakan di atas paras terendah 29 April iaitu AS$1,755 (RM7,235.97) seauns atau RM255.24 segram, saya menjangkakan komoditi ini mungkin dapat mencapai paras tertinggi 20 Januari iaitu AS$1,874 (RM7,726.62) seauns atau RM272.55 segram,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Zambrano berkata, prospek peningkatan harga emas juga bakal didorong jangkaan kadar faedah lebih tinggi di AS menjelang akhir tahun ini.
“Untuk tempoh jangka panjang, secara realistiknya saya melihat harga emas akan meningkat tetapi kita melihat mata wang kripto seperti Bitcoin memiliki minat yang rendah untuk membeli emas ketika ini.
“Mungkin akhir tahun ini, pelabur akan bercakap mengenai kadar faedah lebih tinggi di AS dan ia berpotensi memacu harga emas.
“Buat masa ini, kenaikan harus stabil, tetapi kita harus berhati-hati dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana tekanan terhadap Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengurangkan program pelonggaran kuantitatif, yang akan melonjakkan dolar AS dan ‘menenggelamkan’ emas,” katanya.
Mengulas mengenai pakej rangsangan AS, beliau berpendapat ia akan memberi kesan jangka panjang kepada pasaran emas, namun tiada impak kepada harga untuk tempoh terdekat.
“Namun, jika pakej rangsangan itu mula mendorong kepada inflasi, ini mungkin menyebabkan pelabur beralih kepada emas, tetapi saya berpendapat ia tidak akan menjadi tumpuan peniaga dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, saya melihat kenaikan komoditi lain yang besar harus membantu harga emas. Sebagai contoh, harga jagung di AS meningkat sebanyak 50 peratus pada tahun ini sahaja,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley, berkata emas menjadi semakin menarik ketika ini susulan ketidaktentuan membimbangkan terhadap inflasi sejak minggu lalu.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik kebimbangan inflasi, sokongan kritikal kepada AS$1,800 (RM7,421.51) seauns atau RM261.79 segram tidak pernah diuji, sekali gus memberi petanda baik untuk peningkatan harga emas bagi tempoh jangka panjang.
“Selepas mencatat harga di bawah AS$1,810 (RM7,462.74) seauns Khamis lalu, emas melonjak 0.90 peratus kepada AS$1,843 (RM7,598.80) seauns pada Jumaat ketika hasil Perbendaharaan AS turun sedikit dan dolar pula merosot.
“Menariknya, dalam gambaran yang lebih besar, emas mengekalkan keuntungan jangka panjangnya walaupun hasil jangka panjang AS tetap berada di puncak julatnya. Ini menguatkan lagi bahawa emas mengesan harga struktur rendah pada AS$1,680 (RM6,926.74) seauns.
“Kebimbangan mengenai COVID-19 di Asia juga mendorong bpembelian aset lindung nilai memandangkan pasaran ekuiti berada di bawah tekanan. In mendorong emas 0.55 peratus lebih tinggi kepada AS$1,853 (RM7,640.03) seauns atau RM269.49 segram, melonjak melepasi pergerakan purata 200-hari (200-DMA) pada AS$1,848 (RM7,619.42) seauns,” katanya.