Harga diesel melonjak, rekod tertinggi RM5.52 seliter
Harga diesel melonjak, rekod tertinggi RM5.52 seliter
KUALA LUMPUR – Harga diesel di Semenanjung mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah apabila meningkat kepada RM5.52 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026.
Kenaikan sebanyak 80 sen itu menjadikan diesel sebagai bahan api paling mahal ketika ini berbanding sebelum ini.
Lonjakan mendadak tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna, khususnya pemandu kenderaan diesel dan pemain industri logistik yang bergantung kepada bahan api berkenaan.
Dalam tempoh sama, harga petrol RON97 turut meningkat sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter, manakala RON95 naik kepada RM3.87 seliter.
Bagaimanapun, harga petrol bersubsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI kekal pada RM1.99 seliter bagi penerima yang layak.
Selain itu, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berubah apabila kekal pada RM2.15 seliter.

Penganalisis berpendapat, kenaikan harga diesel di Semenanjung boleh memberi kesan rantaian kepada kos pengangkutan dan seterusnya harga barangan pengguna.
“Kenaikan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada sektor logistik, malah berpotensi meningkatkan kos sara hidup rakyat sekiranya berlarutan,” kata seorang pemerhati ekonomi.
Dalam pada itu, orang ramai dijangka terus memantau perkembangan harga bahan api yang dilihat semakin tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Situasi tersebut turut mencerminkan tekanan pasaran global serta faktor dalaman yang mempengaruhi penetapan harga bahan api di negara ini.
Sehingga kini, tiada pengumuman lanjut mengenai mekanisme kawalan harga baharu, namun pengguna diharap dapat merancang perbelanjaan dengan lebih berhemah susulan peningkatan ketara itu.-SAHIH
