Harga barang stabil awal tahun depan
Harga barang stabil awal tahun depan
BERA – Harga barangan khususnya barangan keperluan harian seperti makanan yang dilaporkan meningkat mendadak sebelum ini dijangka akan stabil sepenuhnya awal tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penurunan harga itu disebabkan negara luar mula membuka sektor ekonomi masing-masing.
Menurut Ismail Sabri, walaupun rakyat Malaysia ada menternak ayam dan menanam sayuran tetapi makanan ayam serta baja dan racun diimport dari luar negara.
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB / PERDANA MENTERI
“Oleh kerana tidak ada pengeluaran bila barang tu sikit permintaan tu banyak tentu sahaja akan naik harga jadi kita percaya keadaan ini akan beransur pulih apabila seluruh dunia pun telah membuka ekonomi masing masing jadi pengeluaran akan kembali normal dan insyaAllah saya percaya tahun depan awal tahun depan harga akan dapat diturunkan.”
Tambahnya bagi membantu golongan yang terkesan, kerajaan telah menganjurkan program jualan murah yang menawarkan harga barang yang rendah selain memberi peruntukan dan insentif.
Pelbagai program dan projek akan terus dilaksanakan kerajaan dalam usaha menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat bagi mengurangkan beban mereka.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas Bera.
Kira-kira 350 kanak-kanak berumur antara lima dan 12 tahun dikhatankan secara percuma dengan setiap seorang mereka turut diberikan topi keledar sebagai cenderahati dalam program anjuran Pemuda UMNO Bera.-SAHIH