HARGA BAHARU BAGI MINYAK MASAK DALAM BOTOL 5 KILOGRAM DAN 3 KILOGRAM AKAN DIBUAT MINGGU DEPAN.
HARGA BAHARU BAGI MINYAK MASAK DALAM BOTOL 5 KILOGRAM DAN 3 KILOGRAM AKAN DIBUAT MINGGU DEPAN.
KUANTAN: Pengumuman harga baharu bagi minyak masak dalam botol 5 kilogram dan 3 kilogram akan dibuat minggu depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata penetapan harga baharu itu dibuat hasil pertemuan membabitkan tiga Kementerian yang berlangsung semalam di Putrajaya.
“Mengenai harga minyak masak ini, akan ada satu pengumuman atau berita baik kepada orang ramai dalam masa terdekat… dalam masa seminggu lagi ia akan diumumkan oleh Menteri, sama ada oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz atau Menteri (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi).
“Kita harap pengumuman ini dapat melegakan rakyat yang sedang menunggu keputusan berkaitan isu (harga minyak masak) yang timbul sejak beberapa minggu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat kedai D’Mart FELDA Bukit Goh, dekat sini, hari ini.
Sabtu lalu, Rosol dilaporkan berkata perbincangan membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Kewangan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkenaan.
Ketika diminta mengulas mengenai rayuan ibu bapa yang meminta kerajaan membenarkan kedai buku dan alat tulis beroperasi susulan keputusan Kementerian Pendidikan meneruskan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula 13 Jun lalu, Rosol berkata perkara itu juga sedang diberi perhatian pihaknya dan berharap ia dapat dipertimbangkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Perkara ini memang mendapat perhatian kita dan akan dipanjangkan untuk perhatian MKN… kita tahu apabila PdPR diteruskan, maknanya ada keperluan untuk kedai alat tulis, kedai ‘printing’ dibuka kerana bukan semua ibu bapa mempunyai pencetak di rumah,” katanya.
Mengenai kekurangan bekalan barangan seperti gula dan sayuran pula, beliau berkata, tidak timbul masalah kekurangan bekalan dan isu itu timbul dipercayai berpunca daripada masalah logistik.
“Macam isu (kekurangan bekalan) gula, saya dimaklumkan ada masalah di kilang apabila pekerja (kilang gula) terpaksa ditutup selepas ada pekerja mereka didapati positif (COVID-19), bukannya kerana (bekalan) gula tidak ada. Saya difahamkan perkara ini sudah selesai dan mereka (kilang) memberi jaminan bekalan sudah boleh diedarkan seperti biasa.
“Berkaitan isu kenaikan harga sayuran, ini berlaku kerana ada kawasan seperti di Cameron Highlands yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jadi berlaku masalah logistik dan kita juga sudah meminta kerjasama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terbabit secara langsung dengan sekatan jalan raya (SJR) supaya dapat melonggarkan sedikit peraturan agar bekalan sayuran dari kawasan PKPD dapat dibawa ke luar untuk memenuhi keperluan pasaran ketika ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya terus melaporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sekiranya berlaku kenaikan harga mendadak, bagi memudahkan tugas pemantauan dilakukan.-SAHIH