Harapan tinggi peneroka Felda sambut tahun baru 2022
Harapan tinggi peneroka Felda sambut tahun baru 2022
Foto atas: Peneroka Jengka 24 berganding bahu memasang bendera sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2021, baru-baru ini.
BANDAR PUSAT JENGKA – Peneroka di Wilayah Jengka berharap Felda kembali fokus kepada meningkatkan perolehan dan perkhidmatannya bagi membantu membangunkan taraf hidup dan sosio ekonomi warga peneroka menjelang tahun baru 2022.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, Felda telah banyak membantu warga peneroka melalui pelbagai kemudahan dengan menyediakan peruntukan dan pinjaman untuk aktiviti ekonomi tambahan pertanian dan ternakan dalam Program Pembangunan Peneroka.
Katanya, Felda juga telah menyediakan Skim Insentif Anak Peneroka melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dan bantuan khairat kematian peneroka untuk pengurusan jenazah dan takaful peneroka.
“Selain itu, Tabung Kebajikan Peneroka diadakan untuk membiayai sebahagian kos rawatan penyakit kronik dan juga ditimpa bencana.
“Felda juga menubuhkan Program WAJAR yang melibatkan dana sebanyak RM 8.3 billion untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka melalui inisiatif pelarasan pinjaman bersyarat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Awah, Mazlan Abd Rahman berharap Felda membantu peneroka dengan memberi pinjaman pembesaran rumah bernilai RM 40,000 serta pinjaman pembelian komputer berjumlah RM 2,400 tanpa faedah.
“Skim Latihan Kemahiran Felda (SLKF) untuk warga peneroka lepasan Sijil Pelajaran Maaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran perlu diteruskan.
“Diharapkan pada tahun 2022, Felda akan terus berjaya dan maju untuk memberi kemakmuran kepada peneroka di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi.
Seorang peneroka, Saharuddin Lela berkata, semua cabaran yang dihadapi pada tahun 2021 dengan kehadiran pandemik Covid-19 dapat dikurangkan dengan syarat semua peneroka dan orang ramai tidak melupakan prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan.
“Selamat tinggal tahun 2021 yang banyak meninggal kenangan suka dan duka termasuk musibah banjir yang dianggap luar biasa, dengan kehadiran 2022 akan memberi harapan dan azam untuk menjadi warga peneroka yang lebih berusaha untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi, moga tahun baru harga sawit bertambah baik di tahun 2022,” katanya.-SAHIH.