HARAP VAKSIN COVID-19 TIDAK DIWAJIBKAN
HARAP VAKSIN COVID-19 TIDAK DIWAJIBKAN
KUALA LUMPUR: Ikatan Komuniti Selamat tidak bersetuju pelaksanan program imunisasi COVID-19 di negara ini diwajibkan sebaliknya meminta kerajaan memastikan bekalan vaksin mencukupi selain menggandakan pelaksanaan usaha advokasi vaksinasi.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata setakat ini isu pengambilan vaksin COVID-19 di negara ini masih boleh diselesaikan memandangkan sudah ramai mendaftar secara sukarela melalui aplikasi MySejahtera.
Malah katanya, kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati majoriti rakyat bersedia mengambil vaksin COVID-19 justeru tiada keperluan pengambilannya diwajibkan pada ketika ini.
“Saya harap kerajaan tidak terburu-buru membuat keputusan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 tambahan lagi ia akan menyebabkan pelanggaran hak asasi bagi mereka yang memilih tidak divaksinasi.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri tidak menyokong pemberian vaksin COVID-19 diwajibkan sebaliknya menyatakan yang ia perlu dilakukan secara sukarela.
“Kerajaan perlu memastikan bekalan vaksin untuk rakyat mencukupi dan diterima mengikut jadual memandangkan masih banyak rungutan daripada mereka yang sudah mendaftar tetapi masih belum menerima vaksin,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sudah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti berkelompok.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga turut mengkaji mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin jika didapati mereka menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)
Lam Thye berkata, kerajaan perlu mengatasi keresahan dan kebimbangan orang ramai mengenai vaksin COVID-19 terutamanya bagi golongan yang disifatkannya berada ‘di atas pagar’.
“Vaksin COVID-19 berbeza dengan vaksin lain tambahan lagi penyelidikan dan kajian yang ada mengenainya baharu dilakukan sejak satu atau dua tahun yang lalu justeru perasaan was-was dalam kalangan masyarakat sememangnya tidak dapat dielakkan.
“Gunakan data saintifik daripada pakar epidemologi di negara ini untuk meyakinkan masyarakat yang vaksin COVID-19 adalah selamat bagi memerangi pandemik ini,” katanya.
Dalam masa sama kata Lam Thye, kerajaan perlu memastikan Unit Vaksinasi Bergerak, diperhebat bagi memastikan pemberian vaksin COVID-19 sampai kepada masyarakat yang tinggal jauh daripada kawasan bandar.