HANYA AHLI KARIAH BOLEH SOLAT DI MASJID
HANYA AHLI KARIAH BOLEH SOLAT DI MASJID
TEMERLOH: Berkuatkuasa serta-merta, hanya ahli kariah sahaja dibenarkan menunaikan solat di semua masjid dalam Daerah Temerloh.
Arahan ini dikeluarkan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Temerloh bagi memastikan usaha memutuskan rantaian COVID-19 di daerah berkenaan.
GAMBAR HIASAN
Pengerusi Masjid Taman Temerloh Jaya, Syed Muhamad Syed Ali ketika ditemui berkata, arahan itu dikeluarkan malam tadi berikutan arahan penutupan Masjid Taman Bukit Bendera, dekat Mentakab, yang dikatakan pernah dikunjungi seorang jemaah positif COVID-19.
“Pihak kami menerima pekeliling dari PAID Temerloh semalam dan kita akur dengan arahan berkenaan bagi mengelak sebarang risiko penyebaran COVID-19 di kawasan ini.
“Ini bermakna bermula solat Jumaat (esok), hanya ahli kariah Masjid Taman Temerloh Jaya sahaja dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat.
“Arahan ini juga saya rasa terpakai untuk semua masjid lain dalam daerah Temerloh dan kita harap ia dapat difahami semua pihak, terutamanya orang luar (bukan ahli kariah) yang melalui kawasan ini bagi urusan kerja mereka,” katanya.
Syed Muhamad berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh untuk proses nyahkuman yang akan dilakukan setiap hari Sabtu.
GAMBAR HIASAN
Katanya, semua prosedur operasi standard (SOP) diputuskan Kerajaan sebelum ini akan dipatuhi dan diteruskan, selain menambahbaik SOP sedia ada bagi menjamin keselamatan jemaah.
“Sejak awal lagi kita patuhi semua SOP ditetapkan pihak berkuasa… setiap jemaah perlu bawa sejadah sendiri, ambil wuduk di rumah sebelum ke masjid dan merekodkan suhu serta butiran jemaah… ini semua kita teruskan.
“Setakat ini tidak ada masalah timbul dan kita harap ia tidak berlaku di Masjid Taman Temerloh Jaya… boleh dikatakan setiap malam kita anjurkan solat hajat supaya wabak ini segera hilang dari bumi Malaysia,” katanya.