“Hantar Makanan Kena Hamun, Saya Cuma Buat Kerja” – Rider Luah Rasa Terkilan
“Hantar Makanan Kena Hamun, Saya Cuma Buat Kerja” – Rider Luah Rasa Terkilan
TEMERLOH – “Saya cuma nak hantar makanan, tapi tiba-tiba dimaki hamun tanpa sebab,” itu luahan seorang penghantar makanan dikenali sebagai Elya Natasha yang tular selepas berkongsi pengalamannya di media sosial, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya, Elya mendakwa dia dihina dan dimarahi oleh seorang wanita ketika cuba menghantar pesanan makanan ke rumah berkenaan.
Menurut Elya, dia telah memberi salam dan memaklumkan kehadirannya sebagai penghantar makanan sebaik tiba di depan rumah pelanggan.
Namun, selepas mendapati pintu rumah terbuka dan tiada respon, dia cuba menghubungi pelanggan namun gagal.
“Saya hon sebab tiada orang keluar. Tiba-tiba seorang makcik keluar dan terus memaki saya. Saya tergamam, tak sangka kena hamun hanya kerana buat kerja saya,” katanya dalam perkongsian itu.
Dia turut merakam kejadian tersebut kerana terlalu takut dan menggigil selepas dimaki sedemikian rupa.
“Dia tanya saya siapa yang order, saya jawab elok-elok. Tapi makin saya jawab, makin dia hina dan cakap nak hubungi bos saya. Padahal anak dia yang order makanan, bukan saya salah rumah,” jelasnya.
Anak wanita terbabit kemudiannya muncul, membayar makanan tersebut dan meminta ibunya masuk ke dalam rumah.
“Kalau mak dia tak tahu pun anak dia order, tak perlulah nak marah orang lain. Saya hantar makanan, bukan datang cari gaduh,” katanya lagi.
Elya meluahkan rasa terkilan dan marah kerana diperlakukan sedemikian sedangkan dia hanya menjalankan tugas. “Saya tak buat salah, tapi dimaki seolah-olah saya ni tiada maruah. Sampai sekarang saya tak boleh lupa muka dan kata-kata makcik tu.”
Netizen yang membaca perkongsian tersebut rata-rata menyokong Elya dan mengecam sikap kasar wanita terbabit.
“Kaya atau berpangkat sekalipun, adab jangan dilupa,” komen seorang pengguna.
Elya menegaskan dia tidak akan memaafkan perbuatan wanita itu kerana menyifatkan ia sebagai penghinaan terhadap orang yang bekerja mencari rezeki halal.-SAHIH