HAMZAH: UMNO BOLEH GABUNG DENGAN BERSATU, CUMA TAK MAHU
HAMZAH: UMNO BOLEH GABUNG DENGAN BERSATU, CUMA TAK MAHU
BENTONG – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendedahkan bahawa UMNO sebenarnya mempunyai peluang untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), namun memilih untuk kekal bersama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana merasakan ia lebih menguntungkan.
Beliau berkata, jika UMNO bersedia untuk bekerjasama, kerajaan boleh dibentuk dengan hanya tambahan lapan Ahli Parlimen lagi.
*”Pada waktu itu, kita sudah ada 104 sokongan. Hanya perlukan lapan lagi untuk membentuk kerajaan. Tetapi UMNO lebih memikirkan kepentingan berkuasa bersama Anwar.
“Jika mereka ada keterbukaan dan mahu duduk semeja, kita boleh fikirkan masa depan negara yang lebih baik agar masyarakat tidak terus berpecah-belah,”* katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Cherengin Hill, Janda Baik.
Menurut Hamzah, perjuangan asal UMNO adalah untuk mencapai kemerdekaan, tetapi selepas lebih 70 tahun, sepatutnya parti itu juga “memerdekakan” pemikiran rakyat dan melihat kepentingan semua, bukan hanya golongan elit.
Dalam ucapannya, Hamzah turut menekankan bahawa Bersatu adalah parti yang benar-benar inklusif, dengan wakil daripada pelbagai kaum dalam kepimpinan tertinggi.
*”Kita ada empat sayap – Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu. Ketua Sayap Bersekutu kita, Dr. Chong, mewakili kaum Tionghoa, manakala Datuk Seri Sanjeevan duduk dalam PNPT bagi membawa isu kaum India.
“Kalau orang kata Bersatu ini tidak inklusif, itu tidak betul. Kitalah parti yang benar-benar terbuka kepada semua,”* tegasnya.
Sementara itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Leong Kim Soon, mengumumkan 113 ahli baharu telah menyertai parti itu pada hari ini sahaja.
“Saya sudah keluar daripada MCA dan memilih Bersatu kerana ia selari dengan perjuangan saya. Dengan pengalaman yang saya ada, saya akan membantu memperkukuhkan Bersatu di Bentong dan seluruh Pahang,” katanya.
Menurut Hamzah, jumlah penyertaan ahli baharu dijangka meningkat dalam masa terdekat, sekali gus membuktikan sokongan yang semakin bertambah terhadap Bersatu dan PN.-SAHIH