HAMZAH TAK FAHAM BAHASA?
HAMZAH TAK FAHAM BAHASA?
KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim menanyakan tahap kefahaman bahasa Melayu Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin ekoran tindakan pihak berkuasa menyiasat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana didakwa menghasut dan mengancam ketenteraman dalam negara.
“Tak faham bahasakah? Memohon, merayu itu maksudnya meminta ihsan kebijaksanaan tuanku untuk, adakah itu berbunyi desakan?”
Anwar juga bertanya sama ada setiausaha agung BERSATU itu ada membaca surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dia memberikan kenyataan umum.
“Pak menteri, bacalah kenyataan kita dan surat kita kepada Agong. Apa yang (kami) sebut? Merayu, memohon ihsan dan kebijaksanaan baginda.
“Tak faham bahasakah? Memohon, merayu itu maksudnya meminta ihsan kebijaksanaan tuanku untuk menimbang. Adakah itu berbunyi desakan?
“Apakah rakyat biasa, rakyat tukang cuci, barisan hadapan tidak boleh merayu kepada Agong supaya baginda mempengaruhi dan memperbaiki keadaan semasa adalah hal-hal yang kita tak setuju?” katanya pada kiriman video di Facebooknya, lapor Malaysiakini.
GAMBAR HIASAN
Ahli parlimen Port Dickson itu berkata demikian sebagai mengulas reaksi kerajaan terhadap usaha dibuatnya untuk memohon memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan menggantung parlimen dalam tempoh darurat.
Antara lain Anwar memohon deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat Muhyiddin Yassin kepada Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.
Satu daripada alasan Anwar berbuat demikian ialah keadaan semasa Muhyiddin sebagai perdana menteri dipertikaikan apabila presiden Bersatu itu tidak lagi mendapat dukungan majoriti ahli parlimen.
Selain Anwar beberapa pihak lain turut mengemukakan permohonan ke mahkamah berhubung isu berkenaan.
Kata Anwar adakah kerajaan beranggapan rakyat akan mesti menyokong apa saja tindakan mereka sewaktu darurat berlangsung.
Menurutnya apa yang dibantah itu adalah keputusan perdana menteri dan kerajaan.
“Kedua, harus diingat bahawa yang bersetuju (dengan tindakan mahkamah tersebut) ada 114 orang ahli parlimen, dan mungkin 115.
“Maknanya ada majoriti ahli parlimen yang membuktikan PN (Perikatan Nasional) sudah hilang majoriti,” katanya.
Sepatutnya kata Anwar kerajaan tidak menggunakan ugutan apabila ada rakyat yang memohon kepada Agong untuk membuat pertimbangan mengenai keadaan semasa.
Katanya mengemukakan permohonan ke mahkamah – seperti yang dilakukan beberapa ahli politik dan Bersih – tidak bercanggah dengan undang-undang.
“Saya harap pimpinan (kerajaan) jangan guna ugutan,” katanya.