Hampir 20 tahun dividen minimum, kini peserta FELCRA Pahang terima agihan RM204 juta
Hampir 20 tahun dividen minimum, kini peserta FELCRA Pahang terima agihan RM204 juta
TEMERLOH: “Sudah hampir 20 tahun peserta menerima agihan pada kadar minimum, namun kali ini kita berjaya mencatatkan jumlah yang jauh lebih besar.
“Ini juga seperti yang disebut oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang sebelum ini bahawa Pahang antara negeri yang mencatatkan pendapatan tertinggi berbanding negeri lain,” kata Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pendekatan Pendampingan Peserta Negeri Pahang yang diadakan bagi menyampaikan secara simbolik agihan dividen tahun kewangan 2025 kepada peserta FELCRA Berhad di negeri ini.
Menurutnya, seramai 18,805 peserta FELCRA di Pahang menerima jumlah agihan keseluruhan RM204 juta yang dibayar melalui tiga peringkat pembayaran.
Katanya, pembayaran itu membabitkan interim pertama sebanyak RM34.18 juta pada Ogos lalu, interim kedua RM65.40 juta pada Oktober, manakala bayaran akhir RM104.41 juta yang disampaikan pada Ramadan tahun ini.
Beliau berkata, jumlah agihan itu memberi makna besar kepada peserta khususnya kerana diterima dalam bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Dividen ini bukan sekadar angka, sebaliknya simbol hasil titik peluh dan kesabaran para peserta yang mengusahakan ladang di bawah pengurusan FELCRA.
“Jika harga meningkat tetapi pengurusan tidak dilaksanakan dengan baik, sudah tentu kita tidak mampu mencatatkan agihan dividen sebesar ini,” katanya.
Menurutnya, kejayaan itu turut dipengaruhi keluasan ladang di negeri ini selain pengurusan yang teratur sehingga mampu memberi pulangan lebih baik kepada peserta.
Katanya, kerajaan Pahang berharap pencapaian berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang supaya peserta terus menikmati hasil yang lebih tinggi.-SAHIH
