HAMILTON TANDATANGAN KONTRAK RM222 JUTA
HAMILTON TANDATANGAN KONTRAK RM222 JUTA
LONDON: Lewis Hamilton akhirnya bersetuju menandatangani kontrak baharu bersama Mercedes – yang dianggarkan bernilai 40 juta pound (RM222 juta).
Pelumba Britain yang tidak memiliki sebarang kontrak sejak 1 Januari lalu terus komited untuk bersama Mercedes untuk tempoh setahun lagi.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Kontrak itu hanya untuk setahun dan ia termasuk sumbangan kebajikan untuk meningkatkan kepelbagaian dalam Formula Satu (F1), lapor Agensi.
Hamilton akan berlumba untuk musim ke-15 dalam F1 dan memburu gelaran dunia kelapan – untuk memintas rekod yang ketika ini dikongsi bersama legenda, Michael Schumacher.
Hamilton ketika ini sudah memegang rekod kemenangan terbanyak (95), petak utama terbanyak (98) dan penamat podium terbanyak (165).
Mercedes menjelaskan kontrak baharu itu akan membentuk yayasan kebajikan secara bersama dengan misi untuk menyokong kepelbagaian yang lebih besar dan penyertaan dalam semua bentuk sukan permotoran.
“Saya teruja untuk musim kesembilan saya bersama rakan sepasukan Mercedes.
“Pasukan kita mencapai banyak perkara yang hebat dan kami tidak sabar untuk terus menempa kejayaan selain menjadi bertambah baik di dalam mahupun di luar trek.”
GAMBAR IHSAN AGENSI
“Saya bertekad untuk meneruskan perjalanan yang kita mulakan untuk menjadikan sukan permotoran lebih meluas untuk generasi seterusnya dan saya bersyukur Mercedes menyokong usaha saya ke arah itu.
“Saya bangga untuk mengatakan yang kita akan meneruskan usaha itu pada tahun ini dengan melancarkan yayasan yang didedikasikan untuk kepelbagaian dan penyertaan bagi sukan ini.
“Saya teruja dengan usaha yang boleh kita bina bersama dan saya tidak sabar untuk kembali ke litar bulan depan,” kata Hamilton.