HADKAN PERGAULAN JIKA DARI ZON MERAH
Berita Nasional
HADKAN PERGAULAN JIKA DARI ZON MERAH
KUANTAN: Orang ramai yang pulang ke Pahang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dinasihat mengehadkan pergerakan dan mengurangkan pergaulan dengan individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, berkata mereka juga hendaklah sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun atau cecair sanitasi tangan dan tidak bersalam dengan individu lain.
Katanya, selain itu mereka juga dinasihat tidak ke kawasan tumpuan ramai seperti majlis kenduri, tempat ibadat, pusat beli belah, kedai makan, pusat rekreasi dan sebagainya bagi mengelak berlaku penularan wabak COVID-19.
“Langkah itu kerana terdapat banyak kes COVID-19 yang tidak mempunyai gejala.
“Individu dari kawasan PKPB juga amat digalakkan untuk menjalani ujian makmal bagi mengesan COVID-19 di fasiliti kesihatan swasta atau fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mereka mengetahui status jangkitan dan tidak menularkan virus itu kepada individu yang rapat.
“Bagi individu yang tempat kerja mereka ditutup kerana terdapat kes positif COVID-19, mereka perlu melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk menjalani penilaian risiko dan saringan kesihatan serta perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya mereka mempunyai sebarang gejala jangkitan salur pernafasan, dinasihatkan pergi ke fasiliti KKM atau swasta untuk menjalani saringan kesihatan.
Katanya, semua acara perkumpulan atau aktiviti yang melebihi 100 orang adalah tidak dibenarkan di lokaliti yang mempunyai kes positif.
“Oleh itu mari kita sama-sama mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya Pahang bebas daripada jangkitan COVID-19 dan menjadi tempat yang selamat untuk rakyat menjalani kehidupan seharian.
“Jangan jadikan diri kita sebagai penyebab kepada penularan virus COVID-19 dalam komuniti,” katanya.
BH Online