Guru SMK Gaal, Pasir Putih maut dalam kemalangan di CSR, Lipis
Foto: Kemalangan jalan raya di KM55, Jalan Central Spine (CSR) yang meragut nyawa seorang guru, petang semalam.
Guru SMK Gaal, Pasir Putih maut dalam kemalangan di CSR, Lipis
LIPIS – Seorang guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, Pasir Putih, Kelantan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 55, Jalan Central Spine (CSR) Lipis ke Merapoh dekat sini pada jam 5.50 petang semalam.
Guru tersebut, Faudin Ibrahim, 59 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Corolla Altis, nombor plet WB606G turut ditemani isterinya dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Pasir Putih.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dipercayai pemandu kereta itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan serta melanggar besi penghadang jalan.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Faudin dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar besi penghadang.
“Akibat kemalangan ini, pemandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala isterinya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, punca kematian belum diketahui kerana sedang menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum dibedah siasat.
“Kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu mangsa mengalami kerosakan bahagian hadapan dan calar di sebelah kiri. Kejadian ini berlaku di jalan lurus, dua lorong satu hala dan garisan putus-putus sebagai pembahagi lorong serta keadaan cuaca baik dan jalan kering.
“Kes kemalangan itu akan disiasat di bawah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.