GURU PONDOK HILANG KAWALAN KENDERAAN, DUA MAUT DALAM NAHAS DI JENGKA
GURU PONDOK HILANG KAWALAN KENDERAAN, DUA MAUT DALAM NAHAS DI JENGKA
MARAN – Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kereta Perodua Myvi yang mereka naiki terbabas dan merempuh pokok di Jalan Jengka 23, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rahinuddin bin Ibrahim, 55, dan Abd Aziz bin Othman, 73.
Kedua-duanya merupakan penuntut pondok dan dalam perjalanan pulang ke Jengka selepas menghadiri majlis ilmu di Pondok Haji Bakri, Chenor.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu oleh seorang guru pondok, Jamaluddin bin Md Adam, 74, hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke cerun kanan jalan dan melanggar sebatang pokok.
“Akibat impak perlanggaran, Mohd Rahinuddin meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Abd Aziz yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Temerloh sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Pemandu, Jamaluddin, mengalami kecederaan di bahagian dada dan kini dirawat di Hospital Jengka dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wong, keadaan jalan licin akibat hujan sebelum kejadian mungkin menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan tersebut.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati pemandu gagal mengawal kenderaan turut menjadi punca nahas ini,” katanya.
Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jengka dan Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat.
Pihak polis turut meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan bagi melengkapkan laporan berhubung nahas tersebut.-SAHIH