Guru dipecat dipecat dan faedah pencen hilang, gara-gara secawan kopi
Foto atas : Gambar hiasan
Guru dipecat dipecat dan faedah pencen hilang, gara-gara secawan kopi
TOKYO: Hanya kerana berkira untuk membayar kopi RM5.74, pengetua sebuah sekolah di Jepun bukan sahaja dipecat, malah tidak menerima manfaat pencen kerana dakwaan mencuri minuman itu dari mesin layan diri.
Kopi bersaiz biasa di kedai berharga 110 yen (RM3.51) dan pilihan yang lebih besar berharga 180 yen (RM5.74).
Dia dilaporkan hanya membayar untuk kopi bersaiz biasa di mesin layan diri kedai serbaneka, selepas didakwa mengambil kopi dengan saiz cawan besar.
Pengetua itu ditangkap di Takasago, sebuah bandar kira-kira tujuh jam pemanduan dari sini, selepas seorang pekerja melihatnya menekan butang untuk mengambil kopi bersaiz cawan besar pada 21 Disember lalu.
Dia dipecat, manakala lesen mengajarnya ditarik balik, juga tidak menerima faedah pencen dianggarkan 20 juta yen (kira-kira RM637,928), lapor akhbar harian Jepun, Asahi Shimbun pada 16 Februari lalu.
Dalam siasatan dengan pegawai lembaga pendidikan di peringkat wilayah, pengetua berusia 59 tahun itu, berkata dia bertindak secara melulu dan sangat menyesal atas perbuatannya.
Dia mengakui, menukar saiz cawan kopinya tanpa membayar sebanyak tiga kali di kedai sama dan empat kali di kedai lain dengan secara keseluruhan, dia membayar kurang 490 yen (RM15.63).
Pendakwa raya memutuskan untuk tidak mendakwanya selepas menerima laporan kes kecurian itu, tetapi pemecatan adalah tindakan paling berat untuk mendisiplinkan penjawat awam diikuti gantung kerja, pemotongan gaji dan amaran.
Seorang pegawai Lembaga Prefektur memberitahu Asahi Shimbun, mereka membuat kesimpulan pemecatan wajar untuk kesalahan berulang selepas mengkaji kes terdahulu dan tindakan tatatertib.
Bagaimanapun, pengkritik mempersoalkan keputusan lembaga pendidikan di peringkat wilayah susulan hukuman yang diumumkan pada 30 Januari lalu itu, menyifatkan ia ibarat ‘hukuman mati’ untuk kesalahan yang hanya membabitkan sedikit kerugian kewangan.
Profesor di Universiti Wanita Jepun, Takashi Sakata berkata, hukuman itu tidak seimbang berat kerana kerugian dialami yang kecil.
Sumber : Berita Harian