GURU DAPAT REZEKI TERPIJAK MATA KAILNYA DISINGGAHI KENERAK
GURU DAPAT REZEKI TERPIJAK MATA KAILNYA DISINGGAHI KENERAK
LIPIS : Seorang guru, Azmi Ahmad Mahir, 45, amat bertuah apabila mata kailnya disinggahi ikan kenerak sembilan kilogram di Sungai Jelai, berdekatan Kampung Ganding dekat sini, semalam.
Azmi yang tinggal di Kampung Ganding berkata, dia tidak menjangka hari bertuah itu datang selepas menjalankan kelas Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PDPR) bersama muridnya kira-kira jam 1.30 petang semalam.
“Saya turun ke sungai berdekatan dengan sangkar ikan miliknya kira-kira pukul 1.00 tengah hari, semalam dengan membawa pancing dan umpan anak udang sambil berharap untuk mendapatkan ikan.
“Saya tidak tunggu lama cuma kira-kira 20 minit sahaja mata kail direntap kuat dalam arus sungai dan menyangka sudah tentu ikan liar bersaiz besar,” katanya di Kampung Ganding, dekat sini hari ini
Katanya, memang benar sangkaannya apabila tali pancing ditarik ke permukaan air, nyata seekor ikan kenerak atau nama saintifiknya ‘bagarius bagarius’ bergumpal cuba untuk melepaskan diri daripada mata kail.
“Dengan bantuan beberapa orang penternak ikan sangkar yang berdekatan, ikan kenerak dapat dinaikkan ke darat dan saya berasa lega kerana tidak terlepas ke air.
“Selepas ditimbang ikan kenerak ini seberat sembilan kilogram dan saya amat teruja memperoleh tangkapan ini berbanding sebelum ini cuma bersaiz kecil seperti ikan patin, kerai dan baung,” katanya.
Kata Azmi menjelaskan oleh kerana tangkapan itu bersaiz besar dan mempunyai nilai komersial, dia mengubah fikiran untuk menjual kepada pengusaha kedai makanan di bandar Kuala Lipis.
“Harga ikan kenerak di pasaran hari ini, iaitu RM40 sekilogram dan saya dikira bertuah memperoleh RM360 cuma dalam waktu singkat,” katanya.-SAHIH.