GURU BESAR MAUT KERETA TERBAKAR DI BERA
GURU BESAR MAUT KERETA TERBAKAR DI BERA
BERA – Seorang guru besar maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar dalam kemalangan di Jalan Utama berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Guai, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Sabri Bakar, 59, yang merupakan Guru Besar SK Durian Hijau, Jerantut, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Preve dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terbakar kira-kira 80 peratus.
“Ketika kejadian, mangsa memandu seorang diri dari arah Jambatan Guai menuju ke Kampung Guai dipercayai untuk ke rumah abangnya.
“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan dipandunya hilang kawalan dan terbabas. Mangsa sempat dikeluarkan orang awam sebelum kereta terbakar, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keadaan jalan ketika itu lurus, permukaan rata dan kering serta cuaca dan pencahayaan baik.
Zulkiflee berkata, tiada kesan kecederaan luaran ditemui pada badan mangsa dan tiada saman trafik dikeluarkan membabitkan kes itu.
“Punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan dipandunya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat dijadualkan dilakukan di Hospital Bera pada 30 Julai ini,” katanya.
Sementara itu, mangsa yang berasal dari Kampung Guai tinggal di Bukit Lada, Kerdau, Temerloh dan difahamkan mahu pulang ke rumah abangnya sebelum insiden berlaku.-SAHIH