Guru Besar Gred DG52/DG54 Kekal Jawatan
Guru Besar Gred DG52/DG54 Kekal Jawatan
JERANTUT: Kesatuan guru merakamkan kesyukuran dan penghargaan atas penyelesaian isu penggredan jawatan sekolah rendah yang membabitkan Guru Besar dinaikkan ke gred DG13/14 (DG52/DG54) yang kini dibenarkan kekal dengan jawatan disandang.
Sebelum penstrukturan semula ini, Guru Besar yang dinaikkan ke gred tersebut perlu diturunkan ke jawatan guru biasa, sesuatu yang dianggap kejanggalan besar dalam sistem perjawatan pendidikan.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sobri Yusuf, berkata keputusan itu menandakan kejayaan besar hasil perjuangan panjang kesatuan guru dalam memperjuangkan hak dan kebajikan warga pendidik di sekolah rendah.
Katanya, pelantikan Guru Besar yang dinaikkan ke gred DG13/14 (DG52/DG54) dikekalkan jawatan sekali gus memperbetulkan struktur perjawatan serta memulihkan maruah kepimpinan pendidikan di peringkat akar umbi.
“Antara penyelesaian utama lain ialah Guru Akademik Biasa gred DG12 (DG48) kini boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah rendah, sekali gus membuka peluang kenaikan pangkat lebih luas berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada gred DG10 (DG44).
“Selain itu, Guru Penolong Kanan gred DG12 (DG48) kini dibenarkan bertukar sekolah bagi memberi lebih mobiliti dan keanjalan dalam pengurusan sumber manusia pendidikan. Guru Akademik Biasa (DG12) juga layak dilantik sebagai Guru Penolong Kanan berasaskan merit dan kebolehan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu merupakan pengiktirafan sewajarnya kepada warga pendidik sekolah rendah dan hasil kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berjaya menyelesaikan isu berlarutan sejak sekian lama.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGMLSM), Mohd Zapawi Mamat, berkata kejayaan tersebut adalah hasil usaha kolektif semua kesatuan guru termasuk KONGRES, STU Sarawak, STU Sabah, NUTP serta sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Solidariti dan suara bersama inilah yang menjadi pemangkin kepada perubahan besar yang dinanti-nantikan sekian lama.
“Semua kesatuan juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, atas kepimpinan berprinsip dan berjiwa rakyat yang membuka ruang kepada reformasi struktur perjawatan lebih adil dan inklusif,” katanya.
Penambahbaikan itu dijangka berkuat kuasa Januari 2026 dan bakal memberi impak besar terhadap motivasi, profesionalisme serta kesejahteraan warga pendidik di seluruh negara. – SAHIH.
