GUNUNG MERAPI MULA MELETUS
GUNUNG MERAPI MULA MELETUS: BERATUS PENDUDUK DIPINDAHKAN
YOGYAKARTA: Gunung Merapi memuntahkan wap panas pagi semalam dan disusuli beberapa letusan kecil, menyebabkan ratusan penduduk yang tinggal di lereng gunung berapi yang subur itu dipindahkan.
Pihak berkuasa memindahkan lebih 500 penduduk yang tinggal di atas gunung di daerah Magelang di Pulau Jawa itu.
Ribuan penduduk sudah pun meninggalkan rumah dan kebun mereka lebih awal lagi disebabkan ancaman bahaya gunung berapi paling aktif di Indonesia itu yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Letusan kecil berterusan pada siang hari yang memuntahkan wap panas setinggi 183 meter ke udara.
Letusan awal dikaburkan oleh kabut tebal tetapi masih dapat dikesan menggunakan data seismik dan kaedah lain.
Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi menganggarkan kepulan wap panas tersebar kurang satu kilometer (km) dari kawah Gunung Merapi.
Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Yogyakarta, Hanik Humaida, dalam satu kenyataan berkata setakat ini potensi bahaya tidak melebihi radius tiga km.
Pihak berkuasa geologi menaikkan amaran waspada Gunung Merapi kepada tahap dua tertinggi pada November tahun lalu dengan kegiatan pelancongan dan perlombongan dihentikan, selepas alat pengesan mengesahkan peningkatan aktiviti.
Segelintir penduduk kembali semula ke lereng gunung selepas aktiviti gunung berapi itu semakin reda, namun terpaksa berpindah sekali lagi semalam.
Gunung setinggi 2,930 meter itu terletak 29 km dari pusat bandar Yogyakarta dengan kira-kira suku juta penduduk tinggal dalam jarak 9.6 km dari gunung berapi itu, kata pihak berkuasa daerah berhampiran.
Gunung Merapi sering meletus sejak sedekad yang lalu dan pada 2010, Antara melaporkan letusan gunung berkenaan meragut 347 nyawa dan memaksa lebih 20,000 penduduk dipindahkan.
Pada 21 Jun lalu, gunung berapi yang terletak di sempadan daerah Sleman, Yogyakarta dan wilayah Jawa Tengah itu meletus dua kali dengan memuntahkan debu setinggi 6,000 meter.
Kawasan yang berisiko tinggi adalah di barat laut, dan barat ke tenggara gunung berapi, yang melintasi wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta tetapi penduduk di kawasan sepanjang kaki gunung juga perlu berwaspada.
Indonesia, kepulauan dengan lebih 250 juta penduduk, terletak dalam Lingkaran Api Pasifik dan terdedah kepada gempa bumi serta letusan gunung berapi, dengan ahli seismologi kerajaan memantau lebih 120 gunung berapi aktif, seperti dilaporkan BH ONLINE.