GUNA LORI BAWA JENAZAH PESAKIT COVID-19
GUNA LORI BAWA JENAZAH PESAKIT COVID-19
PETALING JAYA – Satu klip video menunjukkan lori Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah diubah suai menjadi kenderaan membawa jenazah pesakit Covid-19.
Video berdurasi 1 minit 4 saat itu diiringi bacaan surah al-Fatihah selain memaparkan sepasukan petugas yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) mengusung jenazah untuk urusan pengebumian.
Kelihatan ruangan dalam lori berkenaan mengandungi rak khas tiga tingkat di bahagian kiri dan kanan bertujuan menempatkan jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19.
MBSA menerusi kenyataan di laman Facebook berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk membantu mempercepatkan pengurusan jenazah pesakit Covid-19, lapor KOSMO online
“Sebuah lori sedia ada milik MBSA telah diubah suai untuk dijadikan kenderaan membawa jenazah pesakit Covid-19 ke Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam.
“Kenderaan yang diubahsuai tersebut diharap dapat membantu mempercepatkan proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dan memudahkan urusan semua pihak,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.