GOTONG-ROYONG UBAH LANDSKAP
Berita Nasional
GOTONG-ROYONG UBAH LANDSKAP
JERANTUT: Semangat kerjasama dan gotong-royong dalam kalangan warga peneroka FELDA Jengka 24, dekat sini, masih subur dan turut mendapat sokongan daripada golongan muda.
Program mingguan itu bukan sahaja disertai warga peneroka, tapi turut dibantu kakitangan pejabat FELDA serta Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Wilayah Jengka.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, selain dapat menambahkan lagi keceriaan di kawasan tanah rancangan itu, program berkenaan juga dapat merapatkan hubungan antara generasi pertama dan kedua FELDA terbabit.
“Program ini sudah kita lakukan sekian lama untuk mencantikkan dan menghidupkan lagi suasana kampung tradisional.
“Kita anjurkan gotong-royong setiap hari Rabu… biasanya sebelah petang untuk memberi peluang kepada lebih ramai dapat sertai.
“Hasilnya sangat bagus dan kita boleh tengok perubahan landskap di kawasan FELDA Jengka 24 dan ini sangat menyenangkan hati semua penduduk,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mensasarkan untuk mencuba nasib dalam pertandingan Anugerah Keceriaan Kampung FELDA Peringkat Pahang dan berharap boleh mara ke peringkat Kebangsaan, tidak lama lagi.
“Banyak lagi yang perlu kita buat… tapi sasaran kita jelas, kalau boleh kita mahu jadi juara untuk Anugerah Keceriaan Kampung FELDA Peringkat Kebangsaan.
“Kita juga sangat berterima kasih kepada pihak MBFM, terutamanya Pengerusi MBFM Jengka 24, Nurul Nadia Muhamad dan ahli MBFM Wilayah Jengka yang sentiasa membantu dan menyertai gotong-royong kami anjurkan,” katanya.