Golongan nelayan mahu senator wakili mereka dilantik
Golongan nelayan mahu senator wakili mereka dilantik
KUANTAN – Komuniti nelayan di mukim Kuantan mahu kerajaan baharu nanti melantik seorang senator dari kalangan nelayan bagi mewakili suara golongan itu di Parlimen.
Permintaan itu wajar dipertimbangan susulan banyak isu dan permasalahan dihadapi nelayan gagal diselesaikan sehingga sedikit sebanyak menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Semua nelayan mengakui pelantikan itu sebagai sebagai satu usaha kerajaan untuk menaiktaraf kehidupan dan sosioekonomi mereka ke arah lebih baik dan sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan golongan nelayan kepada ekonomi negara.
Ketua Komuniti Nelayan Kuantan Mat Sani Tahir yang merasakan segala permasalahan berkaitan golongan terbabit akan lebih diberi perhatian, sekali gus tindakan tuntas dapat diambil.
“Sekarang Ini isu nelayan tidak dibawa ke parlimen kerana salah satu dikatakan tidak ada ahli atau wakil dalam parlimen, oleh itu suara kami tidak didengari.
“Ada wakil rakyat apabila dia turun padang dia tidak dapat selesaikan isu yang dihadapi nelayan, baru-baru ini, menteri pertanian asas tani dia datang ke Kuantan isu nelayan tenggelam begitu sahaja,” katanya.
Seorang nelayan tradisi dan ketua komuniti nelayan Tanjung Lumpur, Tuan Zulkarnain Tuan Sulong berkata, senator dari kalangan nelayan akan lebih memahami keperluan kaum nelayan dan penyelesaian masalah oleh kerajaan akan lebih menepati keperluan sebenar.
Malahan kesejahteraan masyarakat nelayan dapat dibela secara berterusan supaya golongan itu tidak rasa terpinggir.
“Tiada wakil nelayan ataupun senator dalam parlimen, suara suara nelayan tidak berpihak kepada kami walaupun banyak kali kami suarakan.
“Segala suara kami ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri, kami rasa macam anak tiri sedangkan bangsa asing boleh ambik berat masalah kami,” katanya.
Katanya, melalui senator itu juga semua usaha memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan menumpu kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta menjaga kebajikan sosial akan lebih berkesan.
“Kami mohon, wakil daripada negeri Pahang tidak kira nanti kerajaan lama atau baharu akan datang tidak kira daripada politik manapun melantik seorang senator ke parlimen daripada golongan nelayan,” katanya.-SAHIH.