GOLONGAN ASNAF JANGAN MALU TERIMA BANTUAN DI MTMAJ
GOLONGAN ASNAF JANGAN MALU TERIMA BANTUAN DI MTMAJ
JERANTUT : Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) mengambil langkah proaktif menyediakan bantuan barangan keperluan dapur kepada golongan asnaf dan orang ramai yang terputus bekalan makanan.
Golongan yang terjejas dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diminta datang ke MTMAJ bandar Jerantut untuk mendapatkan barang keperluan dapur yang diselaraskan oleh Skuad Lajnah Cakna Masjid (SLCM) serta pegawai masjid.
Imam Satu MTMAJ, Mohd. Fikri Hamzah berkata, SLCM serta pegawai masjid bersedia membantu menyediakan barang keperluan dapur dan peralatan kebersihan diri untuk diinfak kepada mereka yang memerlukan.
“Golongan asnaf dan penduduk yang memerlukan tidak perlu malu untuk hadir ke masjid ini dengan menghubungi petugas SLCM dan pegawai masjid dengan memaklumkan hal berkenaan.
“Buat masa ini bantuan disumbangkan kepada asnaf dan penduduk yang terjejas cuma dilakukan di masjid ini kerana kita tidak dapat keluar menghantar ke rumah berkenaan memandangkan pematuhan penguatkuasaan PKP,” katanya semalam.
Mohd. Fikri berkata, selepas menyempurnakan sumbangan seberat sekilogram daging korban masing-masing kepada seramai 344 orang golongan asnaf dan ahli kariah di perkarangan masjid tersebut.
Beliau berkata, majlis korban anjuran MTMAJ diselenggarakan oleh seramai 14 orang urus setia dan 28 0rang petugas turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika kerja melapah dan mengagihkan daging daripada tujuh ekor ternakan yang disembelih di Rumah Sembelihan Ruminan Batu Satu, bandar Jerantut.
Katanya, berhubung dengan bantuan asnaf dan penduduk memerlukan, SLCM telah menerima sumbangan dana, barang keperluan dapur dan sebagainya daripada Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) Jerantut, wakil rakyat setempat dan para dermawan. –SAHIH.