GOLONGAN ANTIVAKSIN BOLEH DITANGKAP
GOLONGAN ANTIVAKSIN BOLEH DITANGKAP
IPOH: Polis akan mengambil tindakan terhadap golongan yang menolak vaksin atau antivaksin sekiranya mereka didapati menghasut orang ramai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini belum ada tindakan diambil terhadap golongan itu.
“Saya harap tidak berlaku tangkapan mengenai hal ini tetapi kalau sampai cuba mencabar dan bersifat busuk hati, ia memang tidak bertanggungjawab dan saya akan pastikan mereka ditangkap kalau terus mencabar.
“(Mencabar sebegini) perbuatan orang busuk hati. Kalau (vaksin) tak baik dan tak mahu tidak mengapalah namun kenapa nak hasut menggunakan cerita yang bukan fakta pun selain tidak disokong dengan apa-apa ujian bagi dijadikan hujah (bagi) meningkatkan keyakinan orang ramai agar tidak divaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli Polis Diraja Malaysia (PDRM) siri 1 2020 di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, hari ini, lapor BH Online.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo; Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Komandan Pusat Latihan PGA, Superintendan Saifuddin Mohamed Nasir.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad menganggap cubaan menghasut orang ramai agar menolak vaksin sebagai kesalahan menyebarkan maklumat palsu.
Surina berkata tindakan yang boleh diambil adalah berdasarkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan ketakutan kepada orang awam selain tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana menimbulkan ketakutan awam.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Abdul Hamid berkata, pihaknya menyokong laporan polis dibuat sekiranya pihak tertentu ada maklumat mengenai kejadian potong barisan dalam proses pemberian vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Laporan mengenainya bakal membolehkan siasatan dibuat oleh pihaknya iaitu sebagai suatu bentuk jenayah penyelewengan, katanya.
Beliau mengulas dakwaan tular mengenai 200 penjawat awam dari sebuah negeri dikatakan cuba memotong barisan untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin COVID-19 dalam fasa pertama sejak 24 Januari lalu.
Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, setakat ini belum ada laporan polis mengenai dakwaan itu.