GIGI GEAR 55 RAHSIA TAKLUKI TURKI
GIGI GEAR 55 RAHSIA TAKLUKI TURKI
KUALA LUMPUR: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh mengakui bukan mudah untuknya menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Manavgat di Turki, Sabtu lalu apabila bergelut dengan masalah kekejangan kaki.
Harrif yang kira-kira setahun tidak berlumba disebabkan pandemik COVID-19 berkata, sukar untuknya menemui rentak selain mengalami kekejangan kaki ketika 30 kilometer (km) terakhir sebelum muncul pelumba pertama tiba di garisan penamat.
“Lima kilometer pertama saya agak bergelut, kemudian (peloton) semakin pantas dengan purata kelajuan kira-kira 53 kilometer perjam dan ia sangat pantas,” kata Harrif dalam laman Youtube.
“Ia sangat sukar buat saya apatah lagi saya sudah setahun tanpa perlumbaan. Saya melakukan yang terbaik untuk mengekori kelompok besar dan bertahan. Apabila memasuki 30km terakhir perlumbaan, saya mula merasakan kekejangan ringan di kaki.
“Saya cuba melakukan yang terbaik untuk tidak panik, saya cuba mencari alternatif lain dengan menggunakan gear lebih rendah dan minum sedikit air bagi menyimpan tenaga.
“Saya dapat kembali pulih sebelum penamat dan terima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu,” katanya, dipetik dari BH Online.
Ketika 5km terakhir menuju ke garisan penamat, Harrif menerima bantuan daripada Youcef Reguigui dan yang lain untuk membantunya ke depan.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Kira-kira 2km terakhir saya mencari laluan sendiri dengan Pak Usop (Reguigui) menghalang pelumba lain di belakang saya. Pada 1km terakhir saya mengekori Andrea Guardini dalam masa sama saya menghalang pelumba lain untuk berada di belakang Guardini.
“Saya tidak bagi pelumba lain berada di belakang Guardini, saya seorang saja boleh berada di belakang pelumba Giotti Victoria itu. Selepas melihat garisan penamat, rahsia saya adalah dengan menggunakan gigi gear 55, yang membolehkan saya melakukan kayuhan dengan kelajuan tinggi.” katanya.
Harrif, yang pernah meraih 18 kemenangan termasuk tiga di Le Tour de Langkawi (LTdL), ketika ini sudah menyertai empat perlumbaan di Turki dan masih mempunyai baki dua perlumbaan iaitu GP Mediterranean pada 6 Mac dan GP Gundogmus (7 Mac) sebelum berangkat pulang ke tanah air.