GHAIB KETIKA BELI ROTI CANAI
GHAIB KETIKA BELI ROTI CANAI l
KUALA SELANGOR : “Pulanglah Syukur. Kami rindukan Syukur. Dia hilang selepas keluar untuk membeli roti canai,” ujar Ma’ayob Samuri, 84, berhubung kehilangan anak lelakinya, Muhammad Syukur, 27, sejak 8 Februari lalu.
Menurutnya, anak bongsu dari empat beradik itu yang bekerja di sebuah kilang pembuatan alat ganti kereta dilihat kali terakhir kira-kira jam 6.30 pagi di rumah mereka di Kampung Tambak Jawa, Jeram, di sini.
GAMBAR HIASAN HARIAN METRO
“Dia (Muhammad Syukur) memberitahu kami hendak keluar membeli roti canai di kedai berhampiran.
“Selepas itu, tiada khabar berita mengenainya.
“Kehilangan Muhammad Syukur menyebabkan isteri saya, Jaliah Margono, 64, susah hati dan terpaksa tinggal di rumah ahli keluarga lain di Meru, Klang buat sementara waktu untuk menenangkan diri,” katanya.
Dia berkata, anaknya itu menunjukkan perubahan sikap selepas abangnya meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada Oktober 2019.
“Kami bimbang kerana Syukur keluar rumah hanya berjalan kaki dan tidak membawa apa apa kecuali surah Yasin dan dompet,” katanya.
Menurut Ma’ayob, Muhammad Syukur sepatutnya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tanjong Karang (HTK) pada 17 Februari ini, lapor Harian Metro.
“Setakat ini pencarian sudah dilakukan sehingga ke Tanjong Karang dan Klang. Kami harap dia pulang ke rumah dengan kadar segera,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Syukur diminta menghubungi ahli keluarga di talian
011-63378667 (Jalaludin) atau 019-2526328 (Juana).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.