Geng Otai bubur lambuk guna resepi orang pencen
Foto : Dari kanan, Idris, Pak Yub dan Omar Chong bersama-sama otai pencen bersiap sedia untuk memasak bubur lambuk.
Geng Otai bubur lambuk guna resepi orang pencen
Geng Otai Bubur Lambuk Surau As-Siddiq (SAS), Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, buat kali pertama menunjukkan skil memasak bubur lambuk resipi orang pencen untuk menyantuni jemaah sebagai menu apabila berbuka puasa.
Usaha sukarela mereka itu memeriahkan lagi aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan di surau berkenaan yang biasa dipenuhkan dengan bersolat tarawih, tazkirah Ramadan selepas solat witir dan tadarus Al-Quran.

Mengacau bubur lambuk selepas dicampur bahan utama memerlukan banyak tenaga.
Memasak bubur lambuk yang dilakukan oleh Geng Otai itu juga merupakan aktiviti yang julung kali diadakan dengan tersusun dan teratur dijangka membabitkan empat tarikh iaitu bermula 5 Mac, 10 Mac, 13 Mac, dan 17 Mac serta jemaah boleh datang mengambil pada hari berkenaan selepas solat asar.
Ketua memasak bubur lambuk Geng Otai itu, Ayub Shafii, berkata sebelum bersetuju untuk mengelola dan seterusnya memasak menu tradisional berkenaan, dia bersama 11 rakan iaitu bekas pesara kerajaan dan swasta terlebih dahulu mencuba memasak pada majlis sambutan Maulidur Rasul 2024 dan Nisfu Syaaban 2025.
Menurutnya, selepas dua kali percubaan memasak itu dilakukan ia tidak dijangka mendapat sambutan dan pujian ramai daripada jemaah SAS yang mencadangkan usaha berkenaan diteruskan pada Ramadan sebagai menceriakan menu apabila berbuka.
Tambahnya, saranan jemaah itu mereka terima dengan hati terbuka dan dengan rendah diri kerana usaha sukarela berkenaan sebahagian daripada kerja amal kebajikan bersama rakan-rakan pencen kerana dapat mempelbagaikan menu berbuka puasa untuk keluarga jemaah sekitar SAS.

Idris (kiri), Ainsaim, Yahya dan Talib menyusunkan bekas plastik yang sudah diisi dengan bubur lambuk.
“Sebagai ketua saya mempraktikkan tugas memasak serta menyediakan bahan mentah dan rencah berdasarkan resipi orang Perak yang juga sinonim dengan menu bubur lambuk di samping pengalaman selalu ditugaskan menyediakan masakan untuk keramaian ketika mendiami perumahan anggota Polis, Desa Baiduri, Cheras,” kata beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Yub yang merupakan bekas Timbalan Ketua Balai Polis, Seri Petaling.
Untuk menyediakan bubur lambuk sebanyak 450 mangkuk plastik itu mereka menggunakan 15 kilogram beras, daging dan udang tujuh kilogram, ramuan rempah ratus serta menggunakan sumber air mineral bertapis bagi menjamin masakan bubur lambuk menjadi enak.
Seorang ahli Geng Otai itu, Idris Asaran, berkata untuk memasak bubur lambuk itu mereka terpaksa memulakan tugas menyediakan bahan mentah dan rencah seawal jam 8 pagi secara bergotong-royong bersama-sama rakan sehinggalah selesai memasak sebelum masuk waktu solat zuhur.
Jelasnya, selepas itu bubur lambuk dibiarkan sejuk seketika di dalam periuk besar sebelum dimasukan ke dalam mangkuk plastik bagi diagihkan kepada jemaah selepas solat asar yang ramai antara mereka akan bergegas untuk pulang ke rumah.
“Saya berasa bertuah dapat membantu rakan-rakan otai menyediakan bubur lambuk ini dan berasa seronok melakukan amal jariah dengan menyediakan menu berbuka untuk keluarga jemaah walaupun hanya seminggu sekali,” ujarnya.
Rakan beliau, Omar Chong pula berkata, sebagai usaha berjemaah sesiapa sahaja boleh datang membantu memasak bubur lambuk itu pada tarikh yang tetapkan kerana apabila ramai tenaga sukarela kerja-kerja menyediakan bahan mentah serta memasukan ke dalam mangkuk plastik selesai dengan mudah.
Jelasnya, dalam keadaan umur yang semakin lanjut memang terasa kepenatan apabila banyak tenaga digunakan sewaktu mengacau bubur lambuk sebaik sahaja dimasukan rempah ratus, daging dan beras yang mengambil masa beberapa jam.
“Namun kepenatan ini terubat apabila bubur lambuk ini siap dimasak dan jemaah pula mengambil dengan teratur yang disusun di atas meja disamping disediakan plastik untuk senang dibawa pulang,” katanya.
Anggaran kos bahan mentah untuk menyediakan bubur lambuk itu adalah RM1,500 untuk satu periuk besar.
Kepada jemaah ingin menyumbang kewangan untuk projek buur lambuk Geng Otai ini, bolehlah terus disalurkan ke akaun Surau As-Siddiq ; Maybank nombor 5623 84700 115. – SAHIH.