Geng Kuala Langat bertemu selepas hampir 50 tahun
Geng Kuala Langat bertemu selepas hampir 50 tahun
Geng Kuala Langat menitis air mata juga tidak dapat menahan kerinduan apabila bertemu semula selepas membawa haluan masing-masing sejak tahun 1972.
Antara mereka yang kini berusia antara 64 tahun dan 67 tahun, sudah mempunyai cucu dan cicit bertemu semula pada Majlis Reunion Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Haron (SMKDH), Tanjung Karang, Selangor.
Majlis itu berlangsung di Dewan Serbaguna Indah Morib Homestay, Kampung Endah, Banting, baru-baru ini.
Pengerusi majlis itu, Ahmad Jantan, berkata majlis itu kebetulan serta menepati dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang dicanangkan oleh kerajaan untuk mengeratkan kembali ukhuwah antara bekas pelajar SMKDH yang sudah lama berpisah tanpa sebarang berita.
Menurutnya, menggunakan kemudahan media sosial penganjuran majlis berkenaan diuar-uarkan beberapa bulan dan mendapat sambutan amat baik apabila ramai yang menelefon bertanyakannya selain memberi persetujuan untuk menghadiri.
Jelasnya, dalam perbualan menerusi telefon itu dia terpaksa bertanya khabar terlebih dahulu termasuk menyoalkan mengenai latar belakang supaya dapat mengingati semula rakan itu kerana secara tidak langsung mengembalikan semula nostalgia ketika SMKDH.
“Walaupun hanya 35 orang sahaja yang hadir, namun majlis ini cukup bermakna bagi kami yang masing-masing sudah berusia lanjut selain sudah lama bersara daripada pelbagai jawatan seperti guru, pegawai polis, tentera dan ahli perniagaan.
“Suasana cukup mengharukan perasaan dan gembira sambil berpelukan kerana kami akhirnya dapat berkumpul semula selepas lebih 50 tahun tidak bersua untuk bertanya khabar walaupun ada yang terpaksa berkerusi roda serta bertongkat datang ke majlis ini.
Katanya, ada antara kami terpaksa mengambil masa beberapa saat untuk mengecamkan kembali wajah kawan yang disapa dalam majlis ini dan menambahkan gelak tawa serta kemesraan apabila terpaksa bersandarkan seperti kepada peristiwa dan perangai yang dilalui masa di SMKDH dahulu untuk mengingati semula.
Sementara itu, seorang bekas pelajar SMKDH, Shamsiah Ilham melahirkan rasa terharu dapat menghadiri majlis itu untuk berjumpa dengan rakan walaupun kurang sihat namun terpaksa mengagahi diri untuk datang bagi bertanya khabar kawan yang sudah lama berpisah.
Bagi Jawahir Misbah pula, dia menzahirkan ribuan terima kepada mereka yang bersusah payah berusaha mengadakan majlis itu yang ternyata memberi banyak manfaat bukan setakat merapatkan ukhuwah persahabatan malah berkongsi cerita mengenai rakan-rakan yang berjaya dan sebaliknya.