Geng Ipar Duai santuni keluarga miskin setiap Ramadan
Geng Ipar Duai santuni keluarga miskin setiap Ramadan
TUMPAT – Amalan bersedekah dengan memberi sumbangan wang atau barangan keperluan asas pada bulan Ramadan sangat dituntut kerana bukan sahaja membawa keberkatan, malah melipatgandakan pahala kepada pemberinya.
Malah, amalan memberi makan kepada orang berpuasa turut menjanjikan ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangkannya, di samping memupuk empati, mengeratkan silaturahim serta meningkatkan sifat pemurah dalam masyarakat.
Mengambil kesempatan itu, sekumpulan adik-beradik yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Ipar Duai dari Kampung Kubang Palas Luar, Wakaf Bharu di sini, tampil menjalankan aktiviti membantu keluarga miskin dan asnaf setiap kali Ramadan sejak tiga tahun lalu.
Ketua kumpulan itu, Muhamad Mahamud berkata, setiap kali tibanya Ramadan, beliau akan memaklumkan kepada ipar-duai yang berada di seluruh negara bagi mengumpulkan sumbangan wang untuk membantu golongan memerlukan.
Menurutnya, kebanyakan ipar-duainya yang bekerja dalam sektor awam, swasta dan lain-lain sentiasa memberi sokongan dengan menghulurkan sumbangan, malah ada juga yang mengambil kesempatan menunaikan zakat melalui usaha itu.
“Dengan wang yang terkumpul, saya bersama isteri, Nur Azian Ismail akan membeli barangan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum, gula dan telur di kedai sekitar Kota Bharu sebelum dibungkus sebagai bakul makanan untuk diagihkan.
“Jika ada lebihan wang, kami turut menyelitkan sumbangan tunai kepada penerima bagi membantu mereka menampung keperluan sepanjang Ramadan,” katanya.
Muhamad berkata, bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, beliau akan berhubung dengan pemimpin masyarakat dan individu prihatin bagi mengenal pasti keluarga miskin serta asnaf di kawasan terbabit.
Katanya, usaha itu bukan bertujuan menarik perhatian orang ramai, sebaliknya sekadar inisiatif kecil daripada mereka sekeluarga untuk membantu mereka yang mungkin tercicir daripada menerima bantuan.
Bagi tahun ini, Geng Ipar Duai memilih 13 keluarga miskin dan asnaf di beberapa kampung pedalaman di jajahan Pasir Mas untuk menerima sumbangan bakul makanan yang mula diagihkan sejak 3 Mac lalu.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Norazizan Ali, melahirkan rasa syukur kerana sumbangan berkenaan dapat meringankan beban perbelanjaan makanan hariannya bersama anak.
Seorang lagi penerima, Roslina Yahya yang menghidap strok berkata, bantuan itu amat bermakna bagi menampung keperluan makanan hariannya yang bergantung kepada hasil jualan air tebu yang diusahakan suaminya.-SAHIH.
