GENG FEI LONG TUMPAS
KUALA LUMPUR: Satu sindiket pengedaran dadah di pusat hiburan dan parti liar, yang dikenali sebagai Geng Fei Long tumpas selepas tujuh lelaki ditahan bersama sejumlah dadah bernilai lebih RM2.5 juta.
Sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu dikesan memasarkan dadah yang siap dibungkus, selain meletakkannya dalam botol minuman untuk kegunaan mereka yang berhibur di pusat hiburan dan parti liar.
Kegiatan mereka tumpas selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan suspek berusia 25 hingga 51 tahun di sekitar Lembah Klang dalam operasi bermula Isnin lalu.
Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata dalam serbuan pertama pada 14 Disember lalu dua lelaki ditahan di sebuah kediaman di Jalan Sultan Ismail, di sini dan siasatan menemui dadah jenis methamphetamine.
“Soal siasat ke atas suspek membawa kepada tangkapan dua lagi suspek pada hari sama di tempat letak kereta di Seksyen 13 Petaling Jaya, Selangor dan polis berjaya merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 100 gram.
“Beberapa jam selepas itu, pasukan polis bersama suspek pergi ke sebuah rumah di lokasi sama dan hasil pemeriksaan menemui dadah jenis ekstacy dianggarkan seberat 1.26 kilogram dan ketamin seberat 631 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Saiful Azly berkata, polis melakukan dua lagi serbuan secara serentak di sebuah rumah di Petaling Jaya dan sebuah kereta di Jalan Peel, Cheras, kira-kira jam 8 malam pada Selasa lalu.
“Di situ, dua suspek ditahan termasuk dalang utama dan polis juga menemui bungkusan plastik berisi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 1.8 kilogram serta wang tunai RM420.
“Polis juga menahan seorang lelaki dalam kereta Toyota Camry dan merampas dadah disyaki MDMA seberat 5.3 kilogram dan 96 botol minuman berisi cecair dadah berjumlah 48 liter,” katanya.
Hasil penahanan kesemua suspek itu kemudiannya membawa kepada pembongkaran tempat persembunyian dadah di sebuah rumah di Jenjarom, Selangor dan menjumpai dadah jenis ketamin seberat 36 kilogram.
Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.