GENG 36 SELAYANG LUMPUH
KETUA KONGSI GELAP BERJAYA DITAHAN
GOMBAK: Kumpulan kongsi gelap Geng 36 Selayang lumpuh selepas 16 ahli dan ketuanya dikenali sebagai Malik ditahan polis, baru-baru ini.
Geng yang aktif menjaga kawasan sejak 2017 itu disyaki terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar kawasan itu termasuk kes bunuh.
GAMBAR HIASAN/GOOGLE IMAGES
Ketua Polis Daerah Gombak, Assisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kegiatan Malik berusia 30-an itu dibongkar hasil penahanan 16 ahli kumpulannya termasuk dua adik-beradik Malik menerusi beberapa siri serbuan sebelum ini.
Katanya, sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan lelaki terbabit di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya, pada 31 Oktober lalu.
“Dalam serbuan itu, polis menemui sepucuk pistol revolver .38 disyaki digunakan dalam beberapa kes jenayah didalanginya termasuk satu kes bunuh di Batu Caves, Julai tahun lalu.
“Berdasarkan semakan, Malik mempunyai 10 rekod jenayah termasuk tujuh rekod dikehendaki polis. Suspek kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 326 KK, Seksyen 506 KK dan Seksyen 435 KK.
Dalam perkembangan sama, katanya, seramai 16 ahli geng yang ditahan sebelum ini turut ditahan di bawah POCA dan tujuh daripadanya sudah dituduh di mahkamah.
Katanya, polis kini giat memburu lima lagi ahli geng itu yang masih bebas dikenali TS Mugeelan, 29; V Ganegeshwaran, 27; M Jayenthiran, 25; G Navinthiran Ganasan, 25; dan R Prem Ganesh, 27, yang semuanya berasal dari daerah ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat IPD Gombak, Asisten Superintendan Mohammad Fairus Baharom di talian 013-2885449 atau 03-61262222.