GEMPAR JUMPA BUAYA TEMBAGA
GEMPAR JUMPA BUAYA TEMBAGA
KUALA LANGAT: Kehadiran seekor buaya tembaga sedang mengeram telur di dalam parit di Kampung Labohan Dagang, Banting, di sini, menggemparkan penduduk hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, reptilia ganas sepanjang tiga meter berkenaan dipercayai sedang mengeram 45 biji telur.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Langat, Kapten (PA) Riduan Nordin berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 12.15 tengah hari.
GAMBAR IHSAN APM KUALA LANGAT
“Tiba di lokasi, kami mendapati buaya itu masih mengeram telur.
“Apabila cuba ditangkap, reptilia itu bertindak agresif dipercayai untuk melindungi telurnya.
“Melihat keadaan itu, kami menggunakan dua tali khas untuk mengikat mulut dan ekor buaya berkenaan.
“Proses menangkap buaya ini mengambil masa 30 minit dan operasi tamat pada 1.30 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap buaya berkenaan.
“Kita percaya buaya ini datang dari Sungai Labohan dan menyusuri parit sejauh tiga kilometer untuk mengeram telurnya.
“Reptilia itu dan telurnya kemudian dibawa menggunakan lori ke Pejabat APM Daerah Kuala Langat,” katanya.
GAMBAR IHSAN APM KUALA LANGAT
Beliau berkata, reptilia itu dijangka diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.