Gelombang kedua membanjir kawasan rendah
Gelombang kedua membanjir kawasan rendah
JERANTUT – Banjir gelombang kedua datang semula dan menenggelamkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar dan sekitar selepas berlaku banjir kali pertama pada 19 Disember yang lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, hujan berterusan selama 4 hari bermula di kawasan Hulu Tembeling pada 2 Januari yang membawa air Sungai Pahang mula melimpah di kawasan rendah.
“Selepas siap urusan kerja, saya terus meninjau air banjir di jalan ke SMK Pulau Tawar dan ke Bukit Nikmat dan keadaan jalan di situ ditenggelami air, baru lagi proses pembersihan sudah dilakukan di SMK Pulau Tawar yang turut disertai Datuk Menteri Besar baru-baru ini.
“Tapi takdir menentukan segalanya, cuaca dan luruan angin monsun timur laut membawa angin dan hujan berterusan di bahagian timur semenanjung, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Timur Johor menyebabkan berlaku banjir,” katanya, semalam.
Katanya, setakat hari ini, kawasan di Felda Kota Gelanggi 1, 2, 3 dan 4 , Kampung Sungai Siam, Persimpangan Jengka 8 dan sekitarnya masih keadaan selamat dan tidak dinaikki air.
“Kita berdoa agar keadaan kembali pulih dan banjir tidak berlarutan, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir, diharapkan mengambil langkah berjaga-jaga dan patuhi arahan daripada pihak berkuasa.
“Diharapkan semua penduduk peka dengan keadaan sekitar dan sentiasa siaap siaga, kita hanya berusaha, bersiap sedia, namun semua yang berlaku adalah ketentuanNya,” katanya.-SAHIH.