GASING PANGKAH WAJAR DISUBURKAN SEBAGAI CABANG SENI WARISAN
GASING PANGKAH WAJAR DISUBURKAN SEBAGAI CABANG SENI WARISAN
RAUB : Penggiat gasing pangkah Persatuan Belia Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong lega dengan kegiatan sukan dan rekreasi dibolehkan beroperasi semula dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Pengerusinya, Nur Amin Nor Azahar, 31, berkata, kelonggarkan peraturan tersebut membolehkan permainan tradisional itu yang diaktif di kampung itu boleh digerakkan semula setelah situ terhenti sejak tahun lalu berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.
Katanya, penguatkuasaan PKP, belia di kampung tersebut yang sebelum ini aktif dengan permainan tradisional telah mengambil keputusan menyimpan gasing pangkah sebagai hiasan dalam almari sahaja dan cuma mampu melihat, tetapi tidak boleh bermain di gelanggang atau secara terbuka.
“Sejak kelonggaran PKP, saya dan rakan hanya bermain pada waktu malam, tetapi cuma melibatkan dua atau tiga orang sahaja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan keselamatan.
“Namun, saya kerap berseorangan bermain tiga kali seminggu pada waktu malam ke gelanggang gasing untuk melepaskan gian bermain, ini disebabkan sudah hampir dua tahun terpisah dengan kegiatan seni ini,” katanya di Kampung Pamah Rawas, dekat sini semalam.
Katanya, walaupun tempoh yang agak lama meninggalkan aktiviti itu, tetapi dia tidak berasa kekok untuk memutarkan gasing pangkah malahan semakin teruja pula melihat putaran (gasing) di gelanggang.
“Dalam tempoh ini, saya kerap berseorangan bermain gasing pangkah dan kadang-kadang ada dua atau tiga rakan lain yang datang bermain dengan mematuhi SOP dan amalan norma baharu,” katanya.
Katanya, menyingkap dari segi sejarah, permainan gasing pangkah amat popular di Pahang semasa pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1863-1914) sehingga beralih kepada puteranya, Sultan Mahmud Shah II (1914-1917).
“Ketika zaman pemerintahan kedua orang Sultan ini, permainan gasing pangkah amat
masyhur malahan pelbagai jenis gasing telah dibentuk sehinggalah peralatan tradisional ini mempunyai entiti tersendiri, iaitu dikenali sebagai Gasing Pangkah Pahang.
“Pada era kedua pemerintah tersebut, gasing pangkah dimainkan pada sebelah petang
dan berhenti pada waktu solat Maghrib dan Isya, kemudian disambung sehingga ke tengah malam, selepas itu permainan gasing lazimnya di halaman rumah tanpa mengira masa dan tempat,” katanya.
Menurut Nur Amin, di Pahang permainan tradisional itu popular di Kampung Cherating,
Tanjung Lumpur, Penor dan Beserah di daerah Kuantan dan di Pekan pula, gasing pangkah juga terkenal di Kampung Tanjung Medang, Pulau Jawa, Pulau Rumput dan Kuala Pahang.
Tambahnya, permainan gasing pangkah juga sangat aktif dalam kalangan penduduk
Kampung Labu dan Kampung Cheringging (Bentong), Kampung Sarang Tiong dan Endau
(Rompin), Kampung Tanjung Lipis dan Kampung Kuala Lahar (Lipis), Ulu Dong (Raub),
Kampung Sekara dan Kampung Bukit Kelulut (Temerloh).
Katanya, sebelum 2020, aktiviti gasing pangkah bukan sahaja mendominasi bagi mengisi masa lapang di kampung, tetapi kerap diadakan pertandingan seluruh Pahang melibatkan orang muda yang mewakili persatuan belia masing-masing termasuk Kampung Pamah Rawas.
“Tetapi setelah penularan Covid-19 semua aktiviti permainan gasing pangkah di kampung
dan pertandingan luar terhenti, ini menyaksikan cabang kesenian ini termasuk aktiviti rekreasi semakin dilupakan berikutan peraturan keselamatan dalam tempoh PKP ini.
“Diharapkan permainan ini kembali aktif dan pertandingan gasing pangkah dapat digerakkan semula bagi menyuburkan kembali permainan tradisional ini,” katanya.-SAHIH.