Gara-gara terdesak seorang wanita buat laporan polis palsu
Gara-gara terdesak seorang wanita buat laporan polis palsu
BENTONG – Gara-gara tidak mampu membayar wang yang dipinjam, seorang wanita warga tempatan sanggup menipu dan melakukan laporan palsu di Ibupejabat Polis (IPD) Daerah Bentong, kononnya dia disamun pada jam 8.00 pagi semalam.
Wanita berusia 28 tahun itu mereka cerita dia disamun oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah gerai menghala ke Desa Damai, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Bentong telah merakam percakapan bagi menyiasat kes tersebut.
“Hasil rakaman percakapan mangsa, kejadian berlaku semasa mangsa hendak pulang ke rumah setelah menghantar anaknya ke sekolah telah ditahan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dan telah mengambil wang tunai kira-kira RM380 milik mangsa.
“Namun, pihak polis mendapati terdapat keraguan yang munasabah terhadap keterangan yang diberi oleh mangsa serta tiada sebarang petunjuk tentang kes samun tersebut dari keterangan yang diambil,” katanya.
Zaiham menambah, kira-kira jam 7.00 petang, hari yang sama, mangsa datang semula ke IPD Bentong untuk menarik semula laporan polis yang telah dibuat.
“Wanita terbabit telah disoal siasat semula oleh pegawai penyiasat mengapa mahu menarik semula laporan polis dan mangsa mengaku telah mereka cerita bahawa telah disamun kerana mangsa sebenarnya telah menggunakan duit rakannya dan tidak mampu membayar semula.
“Susulan dari kejadian aduan laporan palsu yang dibuat oleh wanita berkenaan, pihak polis telah membuat laporan polis terhadap wanita itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 182, Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palus,” katanya.
Katanya, sekiranya didapati bersalah hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2000 atau kedua-duanya sekali akan dikenakan terhadap wanita itu.
“Pihak polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu dan tindakan berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap pelaku kerana bakal menerbitkan kerisauan umum,” katanya.-SAHIH.