GARA-GARA BALING DENGAN KERUSI PLASTIK, MANGSA PATAH TANGAN KENA BESI COP SAWIT
GARA-GARA BALING DENGAN KERUSI PLASTIK, MANGSA PATAH TANGAN KENA BESI COP SAWIT
JEMPOL – Seorang lelaki berusia 22 tahun yang tidak berpuas hati dibaling dengan serpihan kerusi plastik, sanggup membalas dendam dengan memukul mangsa menggunakan sebatang besi cop sawit, kejadian berlaku di Felcra Rompin, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, susulan kejadian berkenaan, mangsa berusia 24 tahun terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Jempol dan doktor mengesahkan tangan kiri mangsa telah patah.
Katanya, berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki itu mengenali antara mereka kerana menetap di perkampungan yang sama.
“Kejadian berlaku apabila suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membalingnya dengan serpihan kerusi plastik sehari sebelum kejadian suspek memukul mangsa.
“Suspek memukul mangsa dengan besi cop sawit ketika berada di atas motosikal di tepi sebuah warung di Felcra Rompin B, kira-kira jam 6.30 petang, semalam, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, suspek menghayun besi tersebut ke arah muka mangsa dan mangsa cuba menangkis menggunakan tangan dan menyebabkan tangan kiri mangsa sakit dan kebas.
Chang Hock berkata, selepas memukul mangsa, suspek terus melarikan diri dan mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Rompin kira-kira sejam selepas kejadian.
“Suspek telah ditangkap, manakala barang kes telah dirampas untuk siasatan lanjut dan lelaki berkenaan mengaku memukul pengadu menggunakan besi tersebut,” katanya.-SAHIH.