Gangguan sistem BUDI95 jejaskan pengguna stesen minyak Gambang
Gangguan sistem BUDI95 jejaskan pengguna stesen minyak Gambang
KUANTAN – Seramai 28 pengguna terkesan apabila sistem BUDI95 di stesen minyak BHPetrol Jalan Gambang di sini mengalami gangguan, kelmarin.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh, berkata insiden itu berlaku sekitar jam 12.15 tengah hari apabila sistem berkenaan tidak berfungsi secara konsisten.
Katanya, pasukan pemeriksaan KPDN turun ke lokasi pada jam 4 petang hari sama dan mendapati sistem beroperasi secara on dan off ketika transaksi dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, tiada masalah rangkaian internet dikesan di premis terbabit, sekali gus mengesahkan gangguan berpunca daripada sistem itu sendiri.
“Hasil siasatan mendapati seramai 28 pengguna terkesan akibat gangguan ini. Pihak pengusaha stesen diminta mengemukakan laporan kepada Ibu Pejabat BHPetrol untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut KPDN, pengguna yang terlibat boleh membuat tuntutan semula subsidi dengan membawa resit asal pembelian bagi tujuan pengesahan dan bayaran balik.
Gangguan sama turut dikesan di stesen BHPetrol Bandar Gambang pada sebelah pagi, namun sistem kembali pulih tidak lama kemudian.
Pemeriksaan di stesen minyak lain seperti Shell Jalan Sungai Lembing tidak menemui masalah, sebaliknya hanya melibatkan isu teknikal cip MyKad pelanggan.
Secara keseluruhannya, KPDN mengesahkan sistem BUDI95 kembali berfungsi selepas gangguan sementara itu, dan langkah penambahbaikan sedang dicadangkan kepada pengusaha stesen minyak.
Antara cadangan termasuk menyediakan sistem manual simpanan resit sekiranya sistem tergendala, selain membolehkan tuntutan semula subsidi dilakukan oleh pelanggan yang terjejas melalui dokumen sokongan.
Datuk Dr. Fuziah berkata, KPDN akan terus memantau pelaksanaan BUDI Madani RON95 dan memastikan semua pengusaha stesen minyak mematuhi peraturan bagi memberi kemudahan terbaik kepada rakyat.-SAHIH