GANGGUAN APLIKASI PAHANGGO PUNCA KERALATAN TEKNIKAL PARKING DIGITAL
GANGGUAN APLIKASI PAHANGGO PUNCA KERALATAN TEKNIKAL PARKING DIGITAL
KUANTAN – Gangguan terhadap aplikasi PahangGo ekoran perlaksanaan penambahbaikan sistem dalaman yang melibatkan migrasi sistem ke server baharu merupakan punca keralatan teknikal bagi sistem parking digital menerusi aplikasi terbabit.
Pengerusi Pahang Go Sdn Bhd, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pihaknya telah menghebahkan perlaksanaan penambahbaikan berkenaan melalui laman sosial rasmi PahangGo pada 28 April 2022 sebagai makluman awal untuk pengguna PahangGo.
“Pada 2 Mei hingga 4 Mei 2022 (sempena cuti Hari Raya Aidilfitri), kami telah melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem dalaman yang melibatkan migrasi sistem ke server yang baru.
“Pada 5 Mei 2022 terdapat keralatan teknikal berlaku pada awal pagi mengakibatkan sebahagian kecil aplikasi Penguatkuasa mengalami gangguan semasa membuat semakan parking digital, namun kami telah berjaya menangani ralat teknikal tersebut pada jam 11.40 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya bagi menjawab kepada artikel yang telah diterbitkan oleh akhbar Sin Chew Daily bertarikh 7 Mei 2022 dan dipetik oleh beberapa laman blog berkenaan kompaun yang dikeluarkan terhadap pengguna parking digital aplikasi PahangGo.
Pada 5 Mei 2022, seramai 24 pengguna daripada 3,823 pengguna yang juga menggunakan parking digital telah terjejas dan proses permohonan pembatalan telah dimulakan.
Pihaknya turut menafikan tidakselarasan sistem antara agensi menjadi punca masalah tersebut sebagaimana yang dilaporkan oleh media memandangkan sistem penguatkuasaan yang digunakan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut dibangunkan oleh PahangGo.
PahangGo juga memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami dan berharap pengguna dapat menggunakan parking digital melalui aplikasi PahangGo versi baharu yang bakal dilancarkan demi kemudahan dan pengalaman yang lebih baik.
Bagi sebarang aduan dan permasalahan boleh hubungi melalui saluran rasmi Facebook Messenger PahangGo iaitu m.me/pahango atau talian 09-5730492.
Sumber- PAHANGMEDIA