GAJAH MUSNAH KEBUN SAWIT SEMBILAN PEMILIK
GAJAH MUSNAH KEBUN SAWIT SEMBILAN PEMILIK
JERANTUT – Kira-kira sembilan pemilik kebun sawit rugi akibat sekumpulan gajah masuk ke kebun mereka dan merosakkan tanam itu di Kampung Ulu Retang, sejak minggu lalu.
Haiwan liar itu memasuki kawasan tanaman di situ dipercayai bermula pada pukul 2 pagi apabila gajah liar termasuk dua ekor anak menceroboh kebun lalu mencabut sebilangan pokok dan selebihnya merosakkan tanaman di bahagian pelepah dan daun.
Pekebun sawit Kampung Ulu Retang, Datuk Basri Omar, 51, berkata, kejadian malam semalam berlanjutan daripada sejak awal bulan ini apabila gajah liar itu kerap menceroboh kawasan kebun sawit untuk mencari makanan.
“Pokok sawit saya sebanyak 35 batang pokok berusia antara lapan hingga 10 tahun dicabut dan sebilangannya patah serta rosak di bahagian pucuk, daun pelepah oleh haiwan liar ini.
“Kira-kira 200 batang pokok yang turut mengeluarkan hasil dan bimbang pokok yang ada menjadi sasaran gajah liar ini semula memandangkan kebun ini terletak di pinggir hutan,” katanya di Kampung Ulu Retang, dekat sini hari ini.
Katanya, selain dia terdapat lapan lagi pekebun lain yang turut terlibat dengan angkara haiwan liar itu yang memusnahkan tanaman sawit mereka.
“Gajah itu dipercayai berpindah dari kawasan hutan Kampung Batu Balak dan Kota Gelanggi yang pernah berlaku pada 2019 dan awal tahun ini juga melibatkan kerosakan tanaman kelapa dan pisang penduduk di situ.
“Saya berterima kasih kepada pihak Perhilitan yang sudah membuat pemantauan di sekitar kebun di sini malah sebagai penyelesaian jangka panjang lebih baik kerajaan membina pagar elektrik di sempadan pinggir hutan mukim Tembeling Tengah dan usaha pemindahan gajah liar ini ke tempat lain sebagai pilihan yang terbaik,”katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, konflik gajah liar dengan manusia membabitkan pencerobohan ke atas tanaman penduduk sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan haiwan liar itu semakin agresif semenjak dua tahun ini yang menjadi sasaran di perkampungan pesisir Sungai Tembeling di Mukim Tembeling Tengah daerah ini.
“Sejak dua tahun ini dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pejabat DUN Tahan menerima hampir 50 laporan dan aduan berkaitan ancaman gajah liar sama ada melibatkan kerosakan tanaman berskala kecil dan besar.
“Pasukan Perhilitan kerap membuat pemantauan sama ada menghalau semula gajah liar ini masuk ke hutan dan usaha penangkapan serta pemindahan seperti mana sebelum ini,” katanya.
“Diharap, penduduk diminta sentiasa berjaga-jaga ketika masuk ke kebun dalam tempoh beberapa minggu ini dan perlu segera menghubungi ketua kampung dan Perhilitan sekiranya ternampak haiwan liar di kebun atau kesan kerosakan tanaman,”katanya.-SAHIH.