Gajah liar terus mengganas ceroboh di Kampung Simoi Lama
Gajah liar terus mengganas ceroboh di Kampung Simoi Lama
LIPIS – Sebuah rumah milik seorang pekebun Orang Asli, Norfini Ajik, 46, antara kesan terbaharu apabila kawanan gajah liar terus mengganas di Kampung Simoi Lama, Pos Lenjang dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, Norfini ketika sampai di kebun tanaman anak durian, pisang, tebu dan serai terkejut melihat rumah lama dijadikan tempat dia berehat serta menyimpan peralatan pertanian hampir roboh diganggu kawanan gajah liar berkenaan.
“Saya amat terkejut melihat sebahagian dinding dan lantai kayu sudah roboh, sebatang tiang (rumah) patah malah akan runtuh bila-bila masa.
“Lebih memeranjatkan saya, kawanan gajah liar terdiri daripada tujuh ekor masih berada tidak jauh sedang makan di kawasan tanaman berdekatan,” katanya di Kampung Simoi Lama dekat sini.
Menurut Norfini, selain peralatan rumah rosak, papan lampu (tenaga) solar juga dirosakkan, manakala banyak tanamannya turut musnah.
Cerita Norfini, memandangkan kawanan gajah liar itu masih berdekatan, dia terus lari ke kawasan matau untuk bertemu dengan beberapa orang pekerja di situ.
“Tetapi, dalam beberapa minit sahaja gajah liar ini mara ke arah matau dan kami pun beredar dari tempat ini untuk mengelakkan daripada ancaman keselamatan,” katanya.
Seorang penduduk, Atan a/l Dan, 40, berkata, sehingga ini sudah hari kelima kawanan gajah liar itu masuk ke kampung mereka sehingga merosakkan banyak tanaman komersial.
“Kalau rumah di kebun milik jiran saya diceroboh, kemungkinan lebih banyak lagi rumah dibina daripada kayu hutan di sini akan diceroboh dan diganggu malahan keselamatan kami juga semakin terancam,” katanya.
Ujarnya, sebaik-baiknya pihak berkuasa perlu menangkap haiwan liar ini dibawa ke santuari tempat lain untuk jaminan keselamatan penduduk Orang Asli di sini dalam tempoh jangka panjang.