GAJAH LIAR MENGANAS DI KAMPUNG GOL, RENCAT KEMERIAHAN SAMBUTAN RAYA
GAJAH LIAR MENGANAS DI KAMPUNG GOL, RENCAT KEMERIAHAN SAMBUTAN RAYA
JERANTUT : Dua gajah liar yang berkeliaran di Kampung Gol, Mukim Tembeling Tengah mendekati kawasan kediaman serta memusnahkan tanaman penduduk di situ membimbang dan merencatkan kegembiraan serta kelancaran sambutan hari raya Aidil Fitri tahun ini.
Penduduk di kampung itu sering berwaspada terutama di waktu malam kerana haiwan itu sering bertandang terutama di kawasan kebun tanaman penduduk di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Gol, Abu Jamil Awang Mahmud berkata, kehadiran dua gajah liar, iaitu seekor jantan yang sudah dikenali menerusi tanda ‘tag’ oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Manakala, seekor lagi tidak diketahui status jantina kerana kami penduduk di sini hanya berpandukan kesan tapak kaki haiwan itu berkeliaran di kawasan tanaman pada waktu malam.
“Dalam kejadian pada pukul 11 malam dua hari sebelum raya, haiwan ini telah menceroboh kawasan kebun getah seluas 1.2 hektar milik seorang penduduk dan merosakkan 10 batang pokok,” katanya.
Katanya, ancaman haiwan liar ini bermula pertengahan bulan Ramadan lalu apabila waktu siang bersembunyi di hutan berdekatan dan masuk ke kawasan kampung pada watu malam juga turut merosakkan tanaman seperti kelapa, pisang dan sayur-sayuran yang diusahakan penduduk di sini.
Kata Abu Jamil, keadaan itu membimbangkan penduduk ketika keluar mencari buluh lemang, daun palas malah ketika berbelanja di bandar Jerantut bagi membuat persiapan hari raya semalam tetapi belum ada lagi kejadian yang mengancam keselamatan mereka.
“Sehingga ini, kita telah memaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya dapat menangkap gajah liar itu sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap penduduk di sini.
“Kita berterima kasih kepada Perhilitan kerana telah menugaskan seramai 10 orang renjer untuk menangkap haiwan ini dua hari sebelum hari raya dan kerja pemantauan dan penangkapan haiwan tersebut disambung selepas hari raya ini,” katanya.
Seorang pekebun, Jama Ahmad berkata, hampir 10 batang pokok getah muda yang belum ditoreh mengalami kerosakan akibat pencerobohan gajah liar itu.
“Saya menjangka lebih banyak tanaman getah ini akan dirosakkan termasuk pisang dan sayur-sayuran komersial penduduk di sini sekiranya haiwan liar ini tidak ditangkap,” katanya.
Sementara itu, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri sudah menerima laporan mengenai ancaman gajah liar itu sejak seminggu sebelum hari raya.
Katanya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah maklum dengan kejadian pencerobohan gajah liar itu dan memohon Perhilitan menangkap serta memindahkan gajah liar berkenaan.
“Saya menasihatkan penduduk supaya berwaspada dengan ancaman haiwan ini ketika masuk bekerja di kawasan kebun dan tanaman sayur serta mengurangkan pergerakan di tempat tertentu sebelum gajah ini ditangkap oleh pihak renjer,” katanya.-SAHIH.