Gajah jantan ganggu penduduk dipindahkan ke Taman Negeri Terengganu
Gajah jantan ganggu penduduk dipindahkan ke Taman Negeri Terengganu
JERANTUT – Susulan sekawan gajah mengganggu penduduk sekitar Kuala Tahan, operasi menangkap seekor gajah jantan telah dijalankan oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di Kampung Tekah, Kuala Tahan, baru-baru ini.
Operasi itu melibatkan kakitangan daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Pahang dan kakitangan Taman Negara Pahang.
Selain itu, operasi itu turut dibantu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, operasi dibantu turut mendapatkan khidmat dua ekor gajah denak yang berjaya mengawal dengan baik gajah liar yang ditangkap berusia antara lima hingga tujuh tahun.
“Kejayaan menangkap dan memindahkan haiwan terbabit diharap dapat meredakan kebimbangan masyarakat setempat yang bimbang dengan kehadiran gajah jantan berkenaan.
“Keadaan gajah jantan terbabit ketika ditangkap dan dipindahkan berada dalam keadaan baik serta aktif dan dipinda dan dilepaskan ke dalam hutan Taman Negeri Terengganu,” katanya.
Kata Che Ku Mohd Zamzuri, gajah jantan yang ditangkap dan dipindahkan itu adalah yang ke 18 di Pahang, tahun lalu hanya tiga ekor.
“Faktor pembukaan kawasan hutan secara tidak terkawal untuk projek pertanian menjadi antara sebab utama gajah mula keluar daripada kawasan hutan yang menjadi habitat haiwan berkenaan,” katanya.-SAHIH.