GADUH SEBAB SALAH FAHAM
Berita Jenayah
GADUH SEBAB SALAH FAHAM
KUALA LUMPUR: Satu pergaduhan berlaku di antara pelanggan dengan petugas kaunter pandu lalu sebuah restoran makanan segera di Rawang dekat sini dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan kaedah pembayaran, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, salah faham dikatakan bermula apabila pelanggan terbabit mahu membuat pembayaran di kaunter pandu lalu restoran makanan segera itu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata mangsa dikatakan tidak berpuas hati apabila petugas di kaunter pandu lalu berkenaan menguruskan pembayaran secara pay wave tanpa kebenarannya.
“Mangsa mendakwa petugas di kaunter itu meninggikan suara dan bercakap kasar terhadapnya serta membuatnya menunggu lama.
“Susulan itu berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum datang seorang lelaki lain yang kemudian menumbuk mangsa di dahi kiri selain pergelangan tangannya ditarik dengan kuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa yang juga seorang pemandu e-hailing berusia 41 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Serendah pada jam 8 malam, mendakwa dipukul pekerja sebuah restoran makanan segera, sejurus kejadian.
“Anggota polis bertugas kemudian menghubungi ambulans bagi membolehkan mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan akibat kecederaan yang dialaminya.
“Kita turut menerima satu laporan polis daripada pekerja restoran makanan segera terbabit dan sudah merekod percakapan beberapa saksi bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu di mana seorang pekerjanya di Restoran Pandu-lalu McDonald’s Rawang diserang seorang pelanggan di tingkap pandu lalu.
“Kami memandang perkara ini dengan serius kerana ia membabitkan kecederaan terhadap pekerja kami.
“Kami telah membuat satu laporan polis mengenai kejadian ini dan akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini,” katanya.
Satu klip rakaman video berkaitan pergaduhan itu turut tular di media sosial.