GADIS MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG LORI
GADIS MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG LORI
REMBAU: Seorang remaja perempuan meninggal dunia selepas dua jam bertarung nyawa setelah terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 14.5, Jalan Seremban-Tampin berhampiran Hentian Tinggi Pedas di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Maznur Hidayah Mazli, 19, dari FELDA Raja Alias 4, Bandar Baru Jempol cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dua jam kemudian.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal yang ditunggang mangsa jenis Honda dan treler yang dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, lapor KOSMO! Online.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin. Setibanya di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan di kawasan selekoh.
“Mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan treler,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Anuar berkata, mangsa yang parah di kepala dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan pagi tadi dan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.