Gabungan NGO pacu aktiviti rakyat setiap Sabtu di Temerloh
Gabungan NGO pacu aktiviti rakyat setiap Sabtu di Temerloh
TEMERLOH, – Karnival Mini Usahawan Bazaar Lurah Semantan yang berlangsung hari ini bukan sekadar program sehari, sebaliknya menjadi antara usaha berterusan Gabungan NGO Daerah Temerloh dalam memperkasa ekonomi komuniti, khususnya usahawan wanita dan desa.
Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli, yang turut menyertai aktiviti Fun Walk dan Fun Fit bersama lebih 600 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Pengerusi Dewanita Negeri Pahang, Rusyatina Wahab, yang juga Timbalan Pengerusi Usahawan Daerah Temerloh dan Ketua Sekretariat Gabungan NGO, sebanyak 12 NGO bergabung di bawah sekretariat itu dan akan menganjurkan aktiviti mingguan setiap Sabtu di lokasi sama.
“Kita beri ruang kepada semua NGO dalam gabungan untuk kendalikan pelbagai aktiviti seperti pertandingan masakan, senam zumba, sukan rakyat dan seni budaya. Setiap minggu ada tema berbeza bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Katanya, seramai 600 peserta mendaftar menyertai acara pagi ini dan apabila digabungkan dengan kehadiran ahli keluarga, jumlah pengunjung mencecah hampir 1,000 orang.
Antara pengisian lain termasuk sukaneka kanak-kanak, pertandingan gubahan bunga kantan serta karaoke walk-in yang berlangsung hingga jam 3 petang, bagi memastikan pengunjung kekal berada di lokasi bagi menyokong usahawan tempatan.
Sebanyak 20 usahawan diberi peluang mempromosi produk masing-masing dengan kadar sewa minimum RM20 bagi menampung kos kebersihan dan kemudahan asas.
“Kita sengaja tak buka tapak terlalu banyak sebab kalau peniaga ramai, tapi pengunjung kurang, mereka pula yang rugi. Jadi kita buat secara giliran supaya semua usahawan dapat peluang,” katanya.
Karnival itu turut mendapat sokongan tajaan daripada Mohamad Hafizal Mahmood, Kedai Emas Sri Semantan selaku penaja utama, yang komited menyokong pembangunan ekonomi usahawan tempatan khususnya dalam kalangan wanita dan belia desa.
Antara NGO terbabit termasuk Kelab Usahawan Desa, Persona, Pawah (Permotoran Wanita), Pemadam, Kelab Sukan Senam Seni Kebudayaan Temerloh (KSSSKT), Kelab Sukan Jabatan Daerah (KSG), Puspanita, Women Institution, serta beberapa masjid di sekitar daerah ini.
Rusyatina berkata, program seterusnya dijangka diadakan di kawasan masjid dengan sasaran penyertaan 500 orang, yang turut membuka peluang kepada peniaga kecil.
“Platform ini bukan sahaja mengangkat produk tempatan, malah beri ruang wanita lebih aktif dan berdikari dalam komuniti,” katanya.-SAHIH