GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA BANTU MANGSA KEBAKARAN
GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA BANTU MANGSA KEBAKARAN
MARAN: Selepas rumah ditenggelami banjir baru-baru ini kini sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Jengka 8 petang semalam.
Seorang mangsa, Fadilah Saari,48, berkata, kejadian kira-kira pukul 5 petang itu difahamkan bermula di ruang tamu rumah ketika seorang anaknya berumur enam tahun bermain pemetik api.
GAMBAR IHSAN GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA
“Ketika api sudah marak anak saya yang berkumur 14 tahun yang berada di tandas tersedar dan berlari keluar melalui pintu dapur sebelum orang ramai mencari dan menyelamatkan bapa mentua saya.
“Semasa dalam keadaan kelam kabut itulah orang ramai menyatakan anak saya yang berusia enam tahun berada di dalam rumah tetapi nasib baik dia telah pun berlari keluar mengikut pintu dapur,”katanya ketika ditemui di Jengka 8 di sini, hari ini.
Menurut Fadilah semasa kejadian dia berada di ladang kelapa sawit bagi menguruskan lembu manakala isterinya keluar ke bandar bagi membeli barangan keperluan.
Katanya, akibat kejadian menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas lebih 90 peratus rumahnya musnah bersama sebuah motosikal yang baru dibelinya empat bulan lalu.
GAMBAR IHSAN GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA
“Pada mulanya memang saya hendak menaiki motosikal baharu ke ladang tetapi saya menukar menaiki motosikal lama menyebabkan motosikal baharu musnah terbakar, kereta saya juga mengalami kerosakan akibat kebakaran.
“Saya reda dengan ujian ini meskipun baru sahaja menggantikan barang-barang selepas rumah ditenggelami air banjir baru-baru ini tetapi kini semuanya musnah dalam kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pada masa ini keluarga mangsa ditempatkan sementara di rumah inap desa Masjid Jengka 8 sehingga rumah baharu dibina.
PENGERUSI GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD
Katanya, Gabungan Masjid Wilayah Felda bersama pemimpin setempat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta telah tampil menghulurkan bantuan.
“Semua masjid di Felda Wilayah Jengka juga membuat kutipan bagi membantu membina semula rumah mangsa membolehkan mereka kembali hidup seperti biasa,” ujarnya.